Honda Civic rempuh rumah

Iklan
Keadaan kereta dipandu mangsa selepas merempuh rumah di tepi jalan dalam kejadian di KM97 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan di Kampung Tebing Tembah, Paka, Dungun.

DUNGUN - Seorang pekerja swasta tidak sempat menyambut Aidilfitri apabila maut selepas kereta dipandu terbabas merempuh sebuah rumah dalam kejadian di KM 97 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan di Kampung Tebing Tembah, Paka, di sini, kira-kira jam 7.20 pagi tadi.

Mangsa, Abdul Fatah@Abd Rahaman Yusoff, 35, yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Paka selepas bertarung nyawa hampir dua jam.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa yang beralamat di Jalan Rambutan, Paka disahkan meninggal dunia pada jam 8.45 pagi.

Katanya, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Dungun menghala ke Kerteh.

Iklan

"Setibanya di tempat kejadian, kereta jenis Honda Civic dipandu mangsa bersendirian dipercayai terbabas ke kiri jalan lalu melanggar sebuah rumah di tepi jalan itu.

"Ekoran itu mangsa alami kecederaan parah di kepala dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Paka dengan menaiki ambulans sebelum disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan," katanya.

Iklan

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan lokasi kejadian itu kerap berlaku kemalangan dan rumah yang dilanggar sering menjadi mangsa langgar kerana pada 12 Mei lalu sebuah kereta terpelosok ke bawah rumah berkenaan.