Permuafakatan Pas-UMNO bukan tiket isu perkauman: Nik Abduh

Iklan
Nik Abduh

SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menegaskan meskipun muafakat UMNO-Pas adalah benar dan penuh keberkatan, namun ia bukan tiket untuk cetuskan isu perkauman.

Jelasnya, permuafakatan kedua-dua belah parti itu tidak seharusnya dirosakkan dengan sentimen yang secara jelas turut ditolak dalam Islam.

Iklan
Iklan

"Muafakat UMNO-Pas adalah benar dan penuh keberkatan tetapi ia bukan tiket untuk unsur dan anasir perkauman masuk gelanggang bermain api.

"Pas menegaskan, Islam menolak perkauman dan asabiah. Jangan rosakkan muafakat yang mulia ini dengan bangkai jahiliyah yang telah dibuang oleh agama Islam yang suci.

Iklan

"UMNO dan Pas mestilah sentiasa berjaga-jaga sedari awal daripada agenda musuh yang sengaja menyucuk jarum perkauman agar tumbuh segar, seterusnya merencatkan keyakinan rakyat terhadap kemaraan muafakat pembangkang menuju Putrajaya,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Piagam Pas-UMNO bakal senasib kerjasama Semangat 46

Iklan

Tambahnya lagi, Pas akan terus mara dengan gagasan Islam yang sempurna untuk sebuah negara sejahtera.

Ahli Parlimen Bachok itu berkata demikian bagi mengulas hubungan Pas dan UMNO yang kini dalam peringkat akhir untuk dimeterai secara rasmi.

Sebelum ini media melaporkan kedua-dua parti bersetuju menerima piagam bersama bagi membentuk gabungan Muafakat Perpaduan Ummah untuk menghadapi Pakatan Harapan (PH).

Pengumuman mengenai piagam tersebut dijangka akan dibuat selepas Aidilfitri ini.