SAYA terkejut apabila dimaklumkan ada guru yang menggelarkan pengetuanya ‘penyutua’. Di mana sifat kasih sayang dan hormat menghormati yang cuba diterapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sekolah.
Jika begini keadaannya, bagaimana elemen kegembiraan di sekolah itu akan wujud.
Adakah kerana perhatian yang diberikan KPM membuatkan segelintir guru berasakan mereka mempunyai kedudukan istimewa sehingga nilai-nilai murni itu terhakis?
Memang, jika dilihat banyak usaha dilakukan KPM memberi fokus kepada golongan guru misalnya, pengurangan beban tugas sehinggakan guru besar dan pengetua dinasihatkan untuk lebih teratur dalam mengagihkan tugas serta menyediakan saluran khas di media sosial untuk para guru mengemukakan soalan kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.
Mungkin rasa ‘istimewa’ itu hanya wujud dalam segelintir guru sahaja kerana banyak lagi yang saya kenal amat menghormati ketuanya di sekolah, malah sentiasa bekerja keras memberi sumbangan lebih besar untuk kemenjadian murid tanpa diminta.
Gelaran penyutua itu sangat melampau dan tidak boleh diterima!
Bukan senang untuk menjadi seorang pengetua, seorang guru biasa perlu bermula dengan jawatan Guru Kanan Mata Pelajaran, Penolong Kanan (PK) Kokurikulum, PK Hal Ehwal Murid dan PK Pentadbiran.
Kemudian mereka perlu menghadapi siri temuduga dan mengambil Program Kelayakan Profesional Pemimpin Kebangsaan (NPQEL).
Namun, ada juga laluan khas untuk individu berkelayakan yang melangkaui proses tersebut.
Memang kita semua maklum, setakat ini belum ada usaha memperkasakan peranan guru besar dan pengetua yang saya kira perlu juga KPM ambil kira.
Sebab itu, setiap perubahan akan memberi kesan kepada ekosistem pendidikan itu sendiri.
Mungkin elemen kasih sayang, hormat-menghormati dan kegembiraan itu perlu diterapkan di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) supaya suasana kerja akan lebih harmoni dan mengujakan.
Bercakap mengenai kemenjadian murid, tahun ini pencapaian kertas Bahasa Inggeris pelajar PT3 merupakan penanda aras kepada pencapaian pelaksanaan silibus dijajarkan dengan Common European Framework of References (CEFR).
Walaupun pelbagai isu membabitkan keupayaan dan kelayakan guru-guru untuk mengajar subjek tersebut sehingga mendorong tuntutan agar guru opsyen bahasa Inggeris menduduki Malaysian University English Test (MUET) namun saya yakin guru-guru kita mampu mencapai tahap standard CEFR.
Berbanding dengan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2003, kali ini lebih fokus. Masuk tahun kelima Pelan Pembaharuan Pendidikan Bahasa Inggeris: The Road Map yang baharu dilaksanakan pada 2017 pastinya semua pihak ingin melihat kejayaan positif.
Dengan kerangka menyeluruh, saya yakin kali ini membawa perubahan sekiranya semua pemegang taruh beri sokongan dan komitmen.
Tahun ini juga menyaksikan beberapa anjakan dan perubahan dalam hala tuju pendidikan negara.
Bermula dengan perubahan orientasi peperiksaan kepada pertumbuhan, sempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei lalu, Maszlee mengumumkan lima inisiatif dan sembilan intervensi mengurangkan beban guru.
Tujuannya supaya guru mempunyai lebih banyak masa berinteraksi dengan murid.
Saya teruja dengan konsep yang tidak bergantung kepada peperiksaan kerana dengan cara ini kita tidak perlu mendiskriminasikan kanak-kanak dengan kelas pandai dan kelas hujung.
Saya harap kaedah pembahagian kelas yang secara halus merobek hati si cilik dan mendiskriminasikan mereka dihapuskan sama sekali.
Biarlah mereka meneroka dunia kanak-kanak seluasnya tanpa sempadan tetapi dalam kerangka terbimbing yang dijana guru-guru terbilang.
Jika tahun ini guru Sains Kenya, Peter Tabichi dinobat penerima Hadiah Guru Global 2019, kita juga ada deretan nama yang tidak kurang hebat.
Pada mulanya, saya kagum dengan pengorbanan Peter yang menyumbangkan gajinya untuk menyediakan kelengkapan asas kepada pelajar yang majoriti miskin tetapi rupa-rupanya di Malaysia ramai guru berbuat demikian.
Beberapa guru yang mengisi ruangan Guruku Adiwira di sisipan GPS Bestari setiap Selasa, secara sukarela menyumbangkan sebahagian wang gaji mereka untuk melengkapkan keperluan Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc).
Tahniah! Andalah adiwira kami yang sebenar.