SHAH ALAM - Kemajuan teknologi kamera dalam telefon pintar yang hampir setara dengan kamera DSLR menyebabkan masyarakat hari ini lebih gemar merakam gambar dan menyimpannya di dalam telefon bimbit.
Pensyarah Kanan Jabatan Sosio-Budaya dan Kesenian Melayu Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, mencetak gambar untuk dijadikan kenangan sememangnya satu nostalgia untuk masa depan, namun trend tidak mencetak gambar merupakan perubahan yang perlu diterima masyarakat hari ini.
"Sekarang ini orang ramai lebih cenderung cuma mencetak foto konvokesyen, foto perkahwinan, aktiviti di sekolah dan peristiwa penting dalam kehidupan mereka sahaja.
"Gambar-gambar lain cuma dikongsi di dalam Facebook, WhatsApp atau Instagram kerana ia tidak memerlukan kos selain boleh dikongsi,” katanya.
Sementara itu mengenai trend masyarakat hari ini yang gemar menyimpan gambar di media sosial sebenarnya mempunyai risiko tersendiri kerana imej gambar disimpan secara digital berisiko mendatangkan masalah pada masa hadapan.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Bidang Antropologi dan Sosiologi, Dr Mohd Roslan Rosnon berkata, hal ini disebabkan hari ini masyarakat berdepan dengan masalah pengubahsuaian gambar.
"Oleh yang demikian gambar yang dicetak awal beserta tarikh boleh mengelakkan masalah seperti ini berlaku.
"Imej fotografi sering dianggap sebagai saksi peristiwa sejarah dan kehidupan dalam masa tertentu dan tidak bersifat berat sebelah. Kandungan setiap gambar adalah sejarah. Ia menunjukkan masa asal imej hingga ke masa ia dilihat semula.
"Imej fotografi, bukan hanya sekadar mengabadikan sebuah gambar, tetapi kita perlu melihat bagaimana gambar itu memiliki cerita yang ingin disampaikan. Justeru, gambar perlu dicetak dan diabadikan sebagai bukti sejarah dan kenangan masa lalu. Gambar dicetak menjadi bukti sesuatu peristiwa,” katanya.
Bagaimanapun kata Mohd Roslan, akibat kemodenan dan penggunaan teknologi tinggi, budaya mencetak gambar sudah berubah dan masyarakat hari ini lebih cenderung mengambil gambar menggunakan telefon bimbit dan menyimpannya dalam alat komunikasi itu.
Menurutnya, gambar yang dicuci hari ini adalah gambar-gambar penting untuk diabadikan sebagai kenangan yang bersifat sentimental untuk jangka masa panjang dan juga tuntutan kerja serta formal.
ARTIKEL BERKAITAN: