SHAH ALAM - Ramai generasi ‘digital’ hari ini memandang mudah mengenai kaedah penyimpanan gambar-gambar apabila sekadar menyimpannya di dalam telefon pintar, cakera keras atau laptop.
Bagi yang rajin memuat naik di media sosial, mungkin beberapa keping gambar dikongsi atau disimpan di Facebook atau Instagram.
Trend mengambil gambar dan sekadar menyimpannya di dalam telefon bimbit telah mengubah budaya kita dahulu yang akan mencuci serta mencetak imej dirakam itu di kedai gambar.
Memang mudah menyimpan gambar secara digital tetapi bagaimana jika gajet itu hilang atau rosak?
Perasaan sedih itu pernah dirasai Sahrul Zarina Adzmi, 39, yang mengakui ralat kerana kehilangan beberapa keping gambar kenangan bersama orang tersayang selepas telefon bimbitnya hilang.
Penjawat awam berasal dari Negeri Sembilan itu berkata, lebih malang kerana dia tidak pernah mencetak gambar itu.
"Saya kehilangan gambar kenangan bersama arwah ayah dan Uwan (nenek) semasa menyambut Aidilfitri di kampung halaman ketika arwah ayah masih muda.
"Bayangkan betapa sentimentalnya gambar itu, namun kini cuma tinggal memori dalam kepala sahaja sebab semuanya sudah hilang,” katanya yang kali terakhir memproses gambar sekitar tahun 2016.
Menurut Sahrul Zarina, kini dia sedar menyimpan gambar dalam telefon pintar sahaja mengundang risiko besar untuk kehilangan gambar penting sama ada akibat insiden kehilangan telefon bimbit atau alat komunikasi itu rosak.
Seorang guru muzik Schazy Awin Sharif, 34, juga senasib dengan Sahrul Zarina apabila dia kehilangan beberapa keping gambar kenangan gara-gara laptop miliknya rosak.
Dia yang juga berasal dari Negeri Sembilan berkata, biarpun dia seorang yang suka bergambar, namun sudah sembilan tahun dia tidak ke kedai gambar untuk mencuci atau mencetak gambar sebaliknya cuma menyimpan setiap imej di dalam laptop miliknya pada 2015.
"Lebih 1,000 keping gambar, semuanya saya simpan dalam laptop. Akibat laptop rosak, saya hilang gambar kenangan sewaktu menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dari tahun 2005 hingga 2009.
"Kesedihan saya berganda apabila gambar ketika menuntut di Aswara (Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan) pada 2013 juga hilang selain gambar kenangan ketika bercuti bersama keluarga dan rakan-rakan.
"Saya cuba baiki laptop itu tetapi malang semua gambar itu tidak dapat diselamatkan lagi,” katanya.
Pengalaman dua individu itu bagaimanapun tidak sama dengan pandangan seorang peniaga yang juga gemar bergambar tetapi tidak pernah berniat untuk mencetaknya di kedai gambar.
Bagi Siti Zuraidah Bakar, 37, sudah hampir 10 tahun dia tidak mencuci dan mencetak gambar dirakamnya menggunakan telefon bimbit sebaliknya cuma menyimpan semua gambar berkenaan dalam gajet itu serta memuat naik setiap gambar pilihan ke Facebook.
Peniaga pakaian berasal dari Jerantut, Pahang itu berkata, saban tahun aksi dan keterujaan menyambut Aidilfitri misalnya cuma dirakam menggunakan telefon bimbit biarpun imej yang dirakam mempunyai nilai sentimental bersama ahli keluarga dan rakan-rakannya.
"Gambar selfie (swafoto) sendiri atau gambar kenangan bersama keluarga serta rakan-rakan memang saya ambil guna telefon bimbit sahaja. Lepas itu saya muat naik ke Facebook supaya kenangan itu boleh dilihat dan dikongsi oleh semua orang,” katanya.
Wanita mesra dipanggil Siti itu tidak pernah bimbang risiko dia kehilangan gambar kenangan yang istimewa dengan adanya Facebook.
"Facebook sudah menjadi seperti diari saya kerana terdapat banyak gambar kenangan saya simpan. Saya tak pernah takut gambar-gambar saya hilang, apatah lagi sekarang Facebook akan membuat imbasan setiap gambar kenangan kita mengikut tarikh ia dimuat naik dahulu,” kata Siti.
Sementara itu, bagi seorang guru aerobik, Norhaida Ismail, 46, dia juga lebih gemar menyimpan gambar secara digital termasuk gambar kenangan menyambut hari raya Aidilfitri bersama keluarga.
Menurutnya, sebelum ini hanya arwah suaminya, Tuan Azhan Tuan Cherit yang suka mencuci gambar mereka sekeluarga.
"Sudah tiga tahun arwah suami meninggal dunia dan sejak itu setiap gambar bersama keluarga tidak pernah lagi dicuci dan dicetak,” katanya yang mengakui pernah terpadam gambar dalam simpanan telefon bimbitnya.
ARTIKEL BERKAITAN: