Harga murah, macam-macam ada!

Iklan
Suzana ( tiga dari kiri) melayan pelanggan digerainya di Pasar Selasa.

PONTIAN - Meriah dengan kehadiran pengunjung selain menawarkan pelbagai jenis tudung, baju Melayu, baju kurung, pakaian, aksesori tudung dan songkok untuk pelbagai peringkat usia dari kanak-kanak sehingga dewasa membuatkan suasananya tidak ubah seperti Jalan Masjid India di Kuala Lumpur.

Pasar Selasa yang terletak di sebelah Masjid Jamek Pekan Nanas dibanjiri orang ramai bukan sahaja penduduk tempatan tetapi ada yang datang dari Johor Bahru untuk membeli belah di situ.

Iklan
Iklan

Faridah Hanim, 50, berkata dia datang dari Mutiara Rini ke Pasar Selasa untuk membeli tudung dengan harga yang jauh lebih murah.

Menurutnya, pilihan yang banyak dengan jumlah peniaga yang ramai membolehkan dia mendapatkan tawaran harga terbaik dengan tawar menawar.

Iklan

"Harga di sini lebih murah dari kedai atau dibeli secara online. Tudung biasanya di sini harga RM30, kalau di luar mungkin cecah RM40.

"Kalau pandai tawar lagi dapat murah. Peniaga juga mesra dan tidak teragak-agak untuk turunkan harga,” katanya.

Iklan

Junainah Jukee, 60, pula berkata, dia lebih senang ke Pasar Selasa kerana kemudahan tempat letak kenderaan disediakan di kawasan pekarangan masjid.

"Bila senang nak parkir, memudahkan lagi pengunjung. Pasar Selasa ni macam-macam ada.

"Bukan saja pakaian tetapi pelbagai barangan lain turut dijual antaranya tuala dan alas meja,” katanya.

Tudung pelbagai jenis rekaan dijual dengan harga murah.

Lubuk rezeki

Dalam pada itu, rata-rata peniaga yang ditemui memberitahu faktor sewa tapak yang sangat murah iaitu hanya RM6 menarik perhatian untuk terus kekal meniaga di Pasar Selasa sejak 11 tahun dibuka.

Peniaga Suzana Padupai, 47, berkata, pasar yang pada mulanya hanya dibuka di kawasan perkarangan Masjid Jamek Pekan Nanas kini menjadi lubuk rezeki bagi peniaga kecil seperti dirinya.

"Sekarang ini Pasar Selasa cukup meriah, peniaga makin ramai mungkin sudah mencecah 100 peniaga. Bukan setakat tudung dan baju kurung tetapi pelbagai barangan di jual di sini.

"Pengunjung dan pembeli juga bukan sahaja orang Pontian dan Pekan Nanas, malah ada yang datang dari Gelang Patah, Kulai dan Johor Bahru,” katanya.

Sarimah Anis, 42, berkata, jumlah peniaga yang bertambah setiap tahun menyaksikan keadaan pasar semakin besar dan jumlah pelanggan juga berganda.

Katanya, tidak sukar untuk bergerak kerana terdapat sekurang-kurangnya lima laluan keluar masuk.

"Ramai yang sudah tahu tentang Pasar Selasa. Pasar Selasa boleh jadi tarikan pelancong ke Pontian.

"Tetapi kemudahan di sini perlu ditambah baik dengan susunan gerai dan tempat letak kenderaan yang lebih teratur,” katanya.