BUKIT MERTAJAM - Agihan sumbangan zakat oleh ahli politik bukan Islam harus dihentikan segera dan insiden ini tidak sepatutnya berulang lagi pada masa akan datang.
Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pulau Pinang, Azdy Mohd Arshad berkata, tindakan membenarkan ahli politik bukan Islam mencampuri urusan pengagihan sumbangan zakat ini adalah suatu tindakan yang menghina Islam dan umat Islam.
Menurutnya, sebagai sebuah institusi yang diamanahkan untuk menguruskan kutipan dan agihan zakat di Pulau Pinang, tindakan Zakat Pulau Pinang (ZPP) memberikan agihan sumbangan zakat kepada ADUN dan Ahli Parlimen dalam kalangan bukan Islam adalah suatu bentuk pengkhianatan terhadap kepercayaan dan penghormatan tinggi yang diberikan oleh umat Islam di negeri ini terhadap institusi pengurusan zakat.
"Ia seolah-olah menggambarkan bahawa pemberian zakat adalah sama sahaja seperti sumbangan menjelang perayaan sedangkan hakikatnya zakat adalah salah satu daripada rukun Islam dan merupakan ibadah wajib yang patut kita laksanakan dengan teliti, ikhlas dan tawaduk.
"Zakat Pulau Pinang mempunyai hak untuk mengaturkan urusan agihan sumbangan zakat dengan pihak kariah masjid atau pemimpin tempatan yang beragama Islam dan pastikan ia kejadian seperti sebelum ini tidak akan berlaku lagi," katanya ketika dihubungi di sini.
Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Azdy menyarankan agar Ahli Lembaga Pengarah ZPP dan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) termasuk pihak kariah masjid dapat memainkan peranan yang lebih proaktif dalam merancang dan mengkoordinasi pemberian sumbangan zakat kepada golongan asnaf di seluruh negeri Pulau Pinang supaya lebih sistematik dan efisyen.
Katanya, menjadi tanggungjawab kedua jawatankuasa berkenaan untuk mengambalikan maruah, kepercayaan dan penghormatan ummat Islam terhadap institusi Zakat Pulau Pinang yang semakin tercemar berikutan isu ini.
Beliau juga berharap agar ZPP bebas daripada pengaruh kepada mana-mana parti politik dan tidak tunduk kepada desakan atau tekanan kepada pihak tertentu.
"Zakat Pulau Pinang wajib bertanggungjawab dan berani berubah demi mempertahankan kesucian Islam dan memelihara maruah umat Islam negeri Pulau Pinang.
"Zakat dikutip oleh orang Islam daripada oleh Islam sewajarnya disampaikan kepada orang Islam oleh orang Islam," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Agih zakat: ZPP, MAINPP perlu ambil tindakan tegas