KPDNHEP kesan 171 kesalahan sempena skim harga perayaan

Iklan
Suhaimi (dua dari kanan) memeriksa harga ayam yang merupakan antara barangan di bawah SHMMP di Pasar Ayam Ipoh di sini hari ini.

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan 171 kes di seluruh negara melibatkan pelbagai kesalahan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2019 bermula 21 Mei hingga 2 Jun lalu.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Pencegahan dan Perisikan) KPDNHEP Putrajaya, Suhaimi Mat Sari berkata, semua kes tersebut hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas 32,565 premis di seluruh negara sepanjang tempoh berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam tempoh sama juga sebanyak RM20,895 kompaun dikeluarkan kepada peniaga atas pelbagai kesalahan.

"Dari segi rampasan pula, sebanyak RM18,416.75 dibuat mengikut kes yang dihasilkan dan sepanjang tempoh skim ini kita belum menerima sebarang aduan.

Iklan

"Kes gagal menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu paling tinggi iaitu 145 kes diikuti tiada tanda harga sebanyak 21 kes dan lima kes lagi melebihi harga maksimum," katanya kepada pemberita selepas menjalankan pemeriksaan di Kompleks Pasar Besar Ipoh, di sini hari ini.

Hadir sama dalam pemeriksaan tersebut, Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh, Mohd Zakuan Zakaria.

Iklan

Suhaimi berkata, kes paling tinggi dicatatkan adalah di negeri Johor iaitu 47 manakala Perak menghasilkan 15 kes.

Menurutnya, tumpuan pemeriksaan adalah di kawasan pasar-pasar awam, pasar malam, pasar pagi dan pasar tani kelolaan Lembaga Pemasaran dan Pertanian Persekutuan (Fama).

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan sepanjang pelaksanaan skim tersebut, seramai 2,293 penguat kuasa diarahkan turun padang sehingga 19 Jun nanti bagi memastikan semua peniaga akur undang-undang.

Katanya, selain itu cuti sebahagian penguat kuasa turut dibekukan dan selebihnya diletakkan dalam keadaan siap sedia jika berlaku kekurangan bekalan dan sebagainya.