MPK akui sukar pantau kilang plastik haram

Iklan
Tindakan pemotongan bekalan air turut dikenakan terhadap premis kilang haram yang beroperasi di sekitar Teluk Gong.

KLANG - Majlis Perbandaran Klang (MPK) berdepan kesukaran untuk memantau kilang kitar semula plastik haram yang beroperasi di daerah ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baharu Selangor, Ng Sze Han berkata, ini adalah berikutan MPK mempunyai kekangan kakitangan untuk melaksanakan pemantauan ke atas kilang-kilang terbabit sepanjang tempoh 24 jam.

Iklan
Iklan

Berikutan itu, beliau memaklumkan bahawa kaedah terbaik bagi mengawal operasi kilang-kilang haram ini adalah dengan memotong bekalan elektrik serta air di premis terlibat.

"Memang susah (untuk pantau) kerana masih banyak kilang haram lain perlu di pantau. Buka di Teluk Gong sahaja tapi Pulau Indah, Meru dan sebagainya kerana kawasan MPK ini besar.

Iklan

"Ada kilang yang telah disita akan meneruskan operasi pada waktu malam pula sehingga menimbulkan aduan penduduk setempat.

"Disebabkan itulah kaedah pemotongan bekalan air dan elektrik dilihat amat bersesuaian dalam mengawal isu kilang haram ini,"katanya selepas operasi bersepadu kilang kitar semula plastik di sekitar Teluk Gong hari ini.

Iklan

Dalam pada itu, Sze Han berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Tenaga dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selepas ini bagi memohon bantuan pihak terlibat mempercepatkan proses pemotongan bekalan di premis terlibat.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan Suruhanjaya Tenaga juga harus mematuhi akta bekalan di mana mereka perlu menyerahkan notis terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang pemotongan.

Sze Han (dua dari kanan) dan Loy Sian (kanan)menunjukkan sisa plastik sewaktu operasi bersepadu di Teluk Gong hari ini

"Sejak awal tahun lalu, MPK mengenalpasti sebanyak 41 kilang plastik haram beroperasi di sekitar Klang dan menerusi jumlah itu, 10 daripadanya telah dikenakan tindakan sita.

"Kalau ikut saya memang saya mahu secepat mungkin tindakan diambil namun ada akta yang perlu dipatuhi oleh semua pihak," katanya.

Sementara itu, Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) juga akan membawa kes kilang plastik haram ini ke mahkamah bagi tujuan pendakwaan terhadap pemilik premis terbabit.

Beliau berkata agensi terlibat mempunyai kuasa untuk mendakwa pihak berkaitan di mahkamah atas kesalahan alam sekitar dan sebagainya.

"Sasaran kita adalah untuk pastikan semua kilang-kilang plastik haram di Selangor ini akan ditutup menjelang Julai depan," katanya.