PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berpendapat harga tiket penerbangan pergi dan balik ke Sabah dan Sarawak perlu diturunkan agar ia tidak membebankan rakyat.
Menurutnya, beliau berhasrat untuk bertemu pengusaha syarikat penerbangan bagi membincangkan perkara tersebut dan meminta mereka menurunkan harga.
"Saya sudah berjumpa dengan Menteri Pengangkutan (Anthony Loke Siew Fook), sudah berunding dengannya. Beliau beritahu akan cuba sedaya upaya untuk turunkan harga tiket penerbangan.
ARTIKEL BERKAITAN: Mahalnya tiket ke Sabah!
"Buat masa ini masih belum ada keputusan. Saya serahkan urusan berkenaan kepada Kementerian Pengangkutan.
"Begitupun, kalau diizinkan saya mahu jumpa pengusaha syarikat penerbangan, mahu minta mereka kurangkan harga,” katanya pada sesi temu bual khas bersama Sinar Harian dan beberapa akhbar lain di pejabatnya di sini tengah hari tadi.
Tambahnya, penurunan harga tiket bukan sahaja mengurangkan perbelanjaan rakyat malah diyakini mampu menggalakkan dan merancakkan sektor pelancongan domestik.
"Kita memang berhasrat untuk meningkatkan sektor pelancongan tempatan, ini yang perlu dilakukan.
"Jika promosi menarik dan baik, rakyat tempatan akan tertarik untuk melancong dan berbelanja dalam negara. Kita berharap pelancong yang suka ke luar negara akan melancong dalam Malaysia.
"Antara faktor perlu dilihat adalah tambang penerbangan. Ini perlukan satu penyelesaian yang akan memudahkan orang dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan sebaliknya,” ujarnya.
Tegas Ahli Parlimen Silam itu, beliau akan terus mengingatkan pihak berkaitan berhubung isu tersebut sekiranya masih tiada tindakan diambil.
Sementara itu, Mohamaddin juga berhasrat menyemarakkan budaya bersopan santun dan hormat-menghormati yang semakin terhakis dalam kalangan golongan muda di Malaysia.
Menurutnya, untuk merealisasikannya, beliau bercadang melakukan rundingan bersama Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan membawa elemen tersebut dalam sistem pembelajaran di sekolah.
"Mungkin ia boleh dimasukkan dalam salah satu subjek seperti Pendidikan Moral yang akan lebih diperluaskan bukan hanya untuk pelajar bukan Islam tapi untuk pelajar Islam juga.
"Generasi tua tahu sopan santun dan hormat-menghormati namun anak-anak muda seakan hampir lupa. Ini perlu ditekankan di sekolah-sekolah,” katanya.