Tingkatkan kualiti pendidikan negara

Iklan
Gambar hiasan
PADA 24 Mei 2019, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik telah menulis di akaun Facebook beliau bahawa beberapa minggu sebelumnya, Exco Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri Perak yang juga ADUN Pasir Pinji merangkap Ketua Pemuda DAP, Howard Lee Chuan How telah datang menemuinya di pejabat. Mereka berbincang mengenai isu matrikulasi dan pendidikan tinggi negara.

Dr Maszlee mengucapkan terima kasih kepada Chuan How kerana dengan penuh adab dan sopan memberikan pandangan yang menarik bagi membantu Kementerian Pendidikan (KPM). Dr Maszlee menyatakan beliau bersikap terbuka untuk sebarang cadangan yang bersesuaian bagi meningkatkan kualiti dan sistem pendidikan di Malaysia secara menyeluruh.

Chuan How telah mengemukakan lima cadangan berikut:

1. Memohon Kementerian Pendidikan supaya menyelesaikan ketidaksamarataan yang besar dalam status quo di bawah sistem penapisan untuk peperiksaan matrikulasi, bagi memastikan peluang yang lebih adil untuk pelajar-pelajar (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia) STPM dan matrikulasi.

2. Untuk menyelidik dan mengkaji semula sistem pengredan kokurikulum. Aktiviti kokurikulum bawah matrikulasi seharusnya mempunyai nilai merit yang sama seperti STPM.

3. Mempertimbangkan penyerapan tempat sebanyak 15,000 di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sedia ada sebagai sebahagian daripada program matrikulasi. Tidak ada sebarang implikasi kos, isu staf akademik dan kemudahan prasarana.

4. Mempertimbangkan kemasukan markah Purata Nilai Gred kumulatif (CGPA) secara automatik bagi para pelajar STPM atau membuka 2,000 peluang kemasukan tambahan bagi 2,000 pelajar teratas mengikut markah CGPA tanpa kira kaum.

5. Untuk menggabungkan peperiksaan, silibus dan sistem pengredan STPM dan matrikulasi diwujudkan menjelang 2020.

Teliti

Dr Maszlee menyatakan bahawa setiap cadangan oleh Chuan How sedang diteliti dengan lebih lanjut oleh KPM. Sementara perkara 1, 2 dan 5 sedang diusahakan pelaksanaannya, perkara 3 dan 4 sedang diperhalusi.

Sistem pendidikan, kursus dan peperiksaan di Malaysia sering dikaitkan dengan peluang sesuatu kaum mendapat pelajaran dan seterusnya berjaya dalam pekerjaan. Parti-parti politik tidak pernah bosan untuk menyinggung atau dilihat menyinggung isu sensitif yang boleh meledak ini.

Sering isu-isu penting di Malaysia diwarnai dan ditenggelami oleh emosi kepartian serta perkauman. Ini berlaku hinggalah kita boleh hilang sikap maudu‘i atau objektif. Perbincangan antara Menteri Pendidikan dengan Chuan How yang disebut sebentar tadi adalah satu misalan.

Adakah lima cadangan yang dibawa Chuan How menjadi bahan sorak penyokong DAP dan Pakatan Harapan (PH)? Pelaksanaan tiga daripada lima perkara yang dicadangkan sedang diusahakan oleh KPM. Sorakan penyokong PH pun berterusan.

Bagaimana pula dengan penyokong Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO-Pas? Adakah kerana semata-semata isu ini dibincangkan antara wakil DAP dengan Menteri Pendidikan, maka natijah perbincangan dan usaha KPM susah diterima oleh BN?

Jawapan kepada soalan-soalan ini akan menjadi lebih jelas bila isu matrikulasi berkaitan dengan STPM digarap sepenuhnya pada bulan-bulan yang akan datang.

KPM sudah pasti akan terus melakukan libat urus yang seluas mungkin dengan pelbagai pemegang taruh sistem pendidikan dan peperiksaan tinggi ini.

Untuk pembangunan negara dan bangsa, rakyat Malaysia wajib mencapai tahap pemikiran yang matang serta kawalan emosi yang kuat supaya perbincangan idea yang bernas tidak diabui oleh emosi yang ekstrem. Pemikiran rasional akan dapat membantu KPM memberikan yang terbaik buat semua tahap pendidikan pelajar Malaysia.

* Prof Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP