'Enam jahanam' larikan emas bernilai RM900,000

Iklan

BUKIT MERTAJAM - Sekumpulan enam lelaki bersenjatakan parang menyamun dua pekerja syarikat pengedar emas dan melarikan lima kilogram emas bernilai RM900,000 di Jalan Hadapan Rumah Pam, Jabatan Pengairan dan Saliran daerah Sebarang Perai Tengah, di sini, hari ini.

Dalam kejadian rompakan jam 10.30 pagi itu, suspek turut melarikan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 yang dpandu oleh dua pekerja syarikat tersebut.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika kejadian sebuah kereta jenis BMW dinaiki suspek telah memberhentikan kenderaan itu secara mengejut lalu kenderaan SUV yang dipandu oleh pekerja syarikat berkenaan telah terlanggar kereta tersebut.

"Selepas itu, keluar tiga suspek memakai topeng muka dan di tangan mereka kesemuanya memegang parang.

Iklan

"Pada masa itu, sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda telah menyekat laluan belakang kenderaan mangsa dan keluar dua suspek yang juga memakai topeng muka serta turut memegang parang," katanya di sini hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, suspek bertindak memecahkan cermin kenderaan mangsa di bahagian hadapan kiri serta kanan dan beberapa suspek telah menarik mangsa dan rakannya keluar dari kenderaan tersebut sebelum merampas beg duitkedua-dua mangsa serta melarikan kenderaan mangsa.

Iklan

"Di dalam kenderaan mangsa terdapat dua buah beg yang mengandungi barang kemas sebanyak lima kilogram bernilai lebih kurang RM900,000 yang disimpan di belakang bonet kereta tersebut," katanya.

Beliau berkata pekerja syarikat tersebut membawa emas berkenaan untuk menjalankan urusan perniagaan di sebuah kedai emas di Jitra, Kedah.

Menurutnya, kawasan kejadian itu merupakan tempat sunyi dan pihak polis masih meneliti rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian.

Beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. - Bernama