GUA MUSANG - Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) mempersoalkan fungsi jabatan serta agensi kerajaan yang dilihat kurang berperanan dalam membantu golongan yang memerlukan.
Pengerusinya, Datuk Sazmi Miah berkata, sekiranya jabatan atau agensi berkenaan ada kreativiti dalam usaha membantu, tiada masalah keciciran asnaf yang masih dihimpit kesusahan.
Katanya, masalah pembasmian kemiskinan masih belum terlaksana sepenuhnya dan pihak-pihak berkenaan harus membuka mata.
"Di Kelantan, kita ada Baitulmal dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) tetapi ia dilihat agak tidak berfungsi.
"Masalah yang timbul satu persatu tidak boleh diselesaikan sedangkan kita mempunyai badan yang diberi amanah untuk menguruskannya.
"Sepatutnya, bantuan itu perlu dihulur kepada golongan yang betul-betul memerlukan," katanya selepas menziarahi keluarga asnaf dari Kesedar Paloh 1, di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar Kesedar, Othman Ismail bersama kakitangan Kesedar Gua Musang.
Dalam pada itu, selain menghulurkan sumbangan wang tunai dan kelengkapan harian, Sazmi turut melupuskan sewa tertunggak selama dua tahun di kediaman berkenaan.
"Kita melupuskan semua tunggakan sewa mereka yang selama ini menjadi kebimbangan kerana tidak mampu untuk membayarnya.
"Selain itu, kita akan berbincang dengan pihak sekolah untuk mengecualikan semua bayaran dan yuran persekolahan anak-anak mereka," katanya lagi.
Sementara itu, Maznah Jusoh, 54, melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak Kesedar di atas bantuan berkenaan.
"Alhamdulillah, selepas kisah kami disiarkan dalam Sinar Harian, ramai yang tampil membantu termasuk Kesedar. Terima kasih semua.
"Sebelum ini, setiap hari saya buntu memikirkan soal tunggakan bayaran sewa rumah. Mana mampu nak bayar sewa sedangkan makan pun cukup-cukup sahaja dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan," katanya sebak.
Terdahulu, kehidupan Maznah dan lima anaknya dihimpit masalah kewangan sejak dua tahun lalu apabila suami, Mohd Suhaimi Ismail, 53, diserang strok otak sehingga tidak mampu menguruskan diri sendiri.