SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan membuat rondaan secara lebih kerap di jalan perbandaran, persekutuan dan lebuh raya yang dikenal pasti laluan ‘panas’ kemalangan sepanjang musim perayaan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Hamdan Wahid berkata, langkah itu diambil bagi memastikan bantuan segera dapat diberikan jika berlaku kemalangan.
Katanya, JBPM di negeri-negeri sememangnya telah sedia maklum dengan lokasi ‘panas’ kemalangan di tempat masing-masing dan tumpuan akan diberikan di kawasan berkenaan.
"Rondaan sebegini membolehkan pihak bomba bertindak cepat di lokasi kejadian sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
"JBPM sentiasa komited dalam memastikan keselamatan masyarakat awam diberi keutamaan dan bantuan segera dihulur,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Katanya lagi, anggota JPBM di seluruh negara juga mencukupi untuk menjalankan tugas sepanjang musim perayaan yang sememangnya diketahui banyak berlaku kes kemalangan.
Tambahnya lagi, pengguna jalan raya turut diingatkan agar sentiasa mendapatkan maklumkan terkini trafik untuk mengelakkan daripada terkandas dalam kesesakan.
"Kita sedia maklum bahawa jumlah kenderaan di atas jalan raya juga akan meningkat berkali ganda berbanding biasa, jadi rancangkan perjalanan sebaik mungkin,” katanya.