WARGA kota mula meninggalkan ibu negara untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidilfiri. Satu keterujaan bagi kita yang dapat balik ke kampung untuk menyambut Aidilfitri dengan ibu bapa tersayang dan sanak saudara.
Saban tahun pada setiap musim perayaan pasti ada kemalangan ngeri yang meragut nyawa. Kita berharap pada tahun ini tiada lagi laporan kemalangan atau seumpamanya.
Perjalanan pulang ke kampung dengan jarak yang lebih jauh ketika sedang menjalani ibadah puasa antara yang boleh mengundang rasa letih dan mengantuk yang sangat tinggi.
Rancanglah perjalanan kita dengan baik. Pastikan kita cukup rehat sebelum memandu untuk perjalanan jauh. Aidilfitri perlu disambut dalam keriangan, bukannya tangisan. Biarlah kepulangan disambut dengan air mata kegembiraan oleh saudara mara bukannya tangisan kedukaan.
Kita tidak mahu jalan raya atau lebuh raya terus menjadi ‘sungai maut’. Ini kerana, suka atau tidak, musim perayaan sering dikaitkan dengan insiden kemalangan jalan raya.
Terbabas, memasuki laluan bertentangan, cuba memotong kenderaan lain, menukar lorong, cuai semasa keluar atau masuk simpang, tidak sedar atau nampak kenderaan lain, mengekori rapat kenderaan lain, membuat pusingan ‘U’, melawan aliran trafik, leka, letih dan mengantuk adalah antara punca kemalangan sehingga meragut nyawa.
Faktor manusia iaitu kecuaian masih menjadi punca utama yang menyebabkan kemalangan. Selain kecuaian, sikap memandu dalam keadaan tergesa-gesa, tidak selesa, kurang sabar dan perubahan emosi menyebabkan pemandu hilang fokus dan berisiko untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Kita perlu mengamalkan pemanduan secara berhemah di samping sifat sabar yang tinggi ketika musim perayaan. Selain perlu menerima hakikat bahawa pada musim perayaan kenderaan akan bertambah, mereka juga perlu bersedia dengan kemungkinan untuk tiba lewat di lokasi yang dituju.
Jika semua mengamalkan pemanduan secara berhemah dan mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya yang ditetapkan, kita pasti dapat pulang ke kampung halaman masing-masing dalam keadaan selamat.
Janganlah kerana perbuatan kita menyebabkan orang lain atau kita sendiri menerima akibat buruk dan ditimpa musibah.