Patuhi akhlak Islam ketika beraya

Iklan
Apa guna galak berhari raya tetapi merosakkan nama agama dengan akhlak buruk dan penindasan hak orang lain. (Gambar kecil: Abdullah Bukhari)

SHAH ALAM - Aidilfitri ini pastinya segala kelengkapan dan persiapan raya telah lengkap semuanya.

Baju yang ditempah beberapa bulan sebelum ini sudah digayakan ketika hari raya, begitu juga dengan biskut raya yang ditempah sudah dijamu kepada tetamu.

Iklan
Iklan

Namun ada yang menempah itu masih belum melunaskan bayaran kepada si pembuat menyebabkan si pembuat ternanti-nanti.

Maka adakah perbuatan itu boleh dikatakan zalim? Bagi penceramah bebas, Abdullah Bukhari Abdul Rahim berkata, sebarang kezaliman terhadap hak orang lain wajib dibendung walaupun ia bernilai sekadar separuh biji kurma.

Iklan

Menurutnya, kezaliman terhadap hak orang adalah sesalan yang mahu ditebus manusia di akhirat kelak, namun masa tebusan sudah jauh berlalu.

"ALLAH juga memerangi golongan yang telah mengupah seseorang untuk melakukan sesuatu kerja, lalu bila telah disiapkan tidak diberi upah di akhirat nanti.

Iklan

"Selain itu, pihak yang menerima tempahan juga perlu diingatkan agar tidak menzalimi pelanggan. Bayaran pelanggan adalah untuk kerja yang dijanjikan dengan spesifikasi tertentu. Jika baju yang ditempah untuk saiz dewasa, janganlah pula pelanggan menerima pakaian bersaiz ‘remaja’,” katanya.

Tidak kurang juga kata Abdullah Bukhari, ada juga tukang jahit yang tamak menerima tempahan, walaupun kakitangan tidak mampu berlari seiring dengan kehendak pelanggan.

"Akibatnya pelanggan terpaksa membayar baju raya yang hanya siap ‘lama’ selepas musim raya. Bahkan ada yang culas tak mahu memulangkan wang deposit pelanggan, walaupun gagal melangsaikan tempahan seperti yang dijanjikan.

"Apa guna galak berhari raya tetapi merosakkan nama agama dengan akhlak buruk dan penindasan hak orang lain? Gaya yang anda peraga dan kecapan manis lidah menyantap biskut pada hari raya lepas adalah ‘hak peluh’ orang lain.

"Poket kembung mengutip hasil bayaran pelanggan tanpa menepati akad jual beli yang disepakati bersama adalah dosa yang pasti diaudit di akhirat kelak,” katanya.

Maka katanya, sekiranya ada terguris amal mengambil hak orang atau sebaliknya, segeralah rawat kerana masih sempat untuk diselesaikan ketika nyawa masih dikandung badan.

"Bergembira pada hari raya adalah saranan agama, namun jangan sampai kezaliman kita pada hak orang lain menyebabkan kita muflis akhirat.

"Alangkah sedihnya jika musibah akhirat itu berlaku hanya kerana sebalang biskut raya atau sepasang baju raya. Mohon dijauhkan ALLAH!” katanya. (Sumber: 600 Jawapan Kemusykilan Agama Jilid 2, Karya Bistari Sdn Bhd)