KOTA BHARU - Ketika umat Islam seluruh dunia berlumba-lumba mahu ke tanah suci, lain pula yang berlaku kepada seorang imam dari Arab Saudi kerana memilih Kelantan sebagai destinasi untuk mengerjakan ibadah setiap kali Ramadan.
Syeikh Abdul Rahman Abdul Latif Al Mahmud berkata, beliau sendiri memohon dengan kerajaan Arab Saudi supaya dihantar ke Kelantan untuk menjadi imam solat tarawih sepanjang Ramadan, tahun ini.
"Saya bukan sahaja suka pada penduduk di negeri ini malah menggemari masjid-masjid yang dibina kerana dilihat penuh keberkatan.
"Saya selalu cakap, Kelantan atau Malaysia amnya menjadi contoh negeri 'baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur’ atau negeri yang makmur dan mendapat pengampunan ALLAH.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Kunjungan Hormat di Pejabat Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.
Abdul Rahman yang tiba di Kelantan dua hari sebelum Ramadan lalu berkata, beliau bukan sahaja mengimamkan solat sunat itu di Kota Bharu, malah pelbagai masjid seluruh negeri ini termasuk Jeli dan perkampungan orang asli di Gua Musang.
Memandangkan kedatangannya sudah memasuki kali ketiga, beliau turut meminati masakan Kelantan dan menghafal beberapa perkataan baharu antaranya kuih akok, budu dan nasi kerabu.
Hari ini sahaja katanya, dia mempelajari dua perkataan baharu iaitu keluar dan tandas.
Sementara itu, Mohd Amar berkata, ini merupakan kerjasama baik Kelantan dengan kerajaan Arab Saudi sejak tujuh tahun lalu.
Setiap kali Ramadan katanya, Arab Saudi akan menghantar seorang imam tarawih untuk mengimamkan solat di negeri ini yang mana ia ditanggung sepenuhnya oleh negara itu.