JEMPOL - Tiga beranak maut disambar petir dalam kejadian di kandang kambing dalam kebun getah di Felda Palong 6, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol Superintenden Muhd Nurhishamuddin Hashim berkata, kejadian itu mengorbankan S Elangovan, 38, K Kaliammah, 36 dan anaknya Vinesh, 3 tahun manakala seorang lagi anaknya berusia 12 tahun terselamat namun melecur pada bahagian kaki.
"Kejadian berlaku apabila kesemua mangsa dikatakan masih belum pulang ke rumah setelah keluar untuk memasukan kambing ke kebun mereka dari jam 5 petang hingga 10 malam.
"Bimbang dengan keadaan itu, ibu mangsa kemudian mengadu kepada rakannya dan mereka bergegas ke kawasan kebun.
"Mereka kemudiannya terdengar tangisan seorang budak dan dapati kanak-kanak itu melecur dan bengkak di kaki," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Muhd Nurhishamuddin menambah, seorang lagi mangsa berusia 3 tahun didapati kaku termasuk beberapa kambing dan dua ekor anjing.
"Semua mangsa dibawa ke Hospital Jempol dan hasil bedah siasat mengesahkan mangsa maut disebabkan kejutan eletrik dari kilat serta petir.
Kematian tiada unsur jenayah," katanya.