20 tahun tidak pijak tanah

Iklan
Muda setia menemani isterinya, Romlah di rumah mereka di Pulau Duyong.

KUALA NERUS - Kerana sayangkan isteri, seorang lelaki berusia 70 tahun menetap di Pulau Duyong di sini sanggup mendukung dan mengendong isterinya selama dua dekad.

Muda Mohamad bersama isterinya, Romlah Abdul Rahman, 63, berkahwin ketika usia wanita itu baharu 14 tahun sebelum isterinya diserang strok pada usia 43 tahun.

Iklan
Iklan

"Kami ada tiga anak, dua lelaki dan seorang perempuan. Anak sulung kami (Mohd Zaid) sekarang sudah berusia 48 tahun. Selepas isteri jatuh sakit saya uruskan segala keperluannya.

"Selama 20 tahun juga dia tidak pernah memijak tanah dan cuma berada dalam rumah termasuk pada hari raya. Dia hanya tunggu anak anak dan cucu datang melawat,” katanya ditemui hari ini.

Iklan

Penyakit menyerang isterinya menyebabkan isterinya lumpuh sebelah badan. Romlah tidak mampu membuat kerja rumah dan bergantung sepenuhnya pada orang lain untuk bergerak.

Selama 20 tahun, Muda mendukung isterinya untuk duduk di kerusi dan tidur termasuk ketika membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Iklan

Usah berangan hendak masak, ke bilik air pun Romlah perlu didukung. Suaminya juga yang memandikannya. Segala-galanya bergantung kepada suaminya itu.

Romlah tidak mampu berjalan tanpa sokongan dan makan dengan sendiri namun, Muda terus setia bersama isterinya malah hatinya sentiasa dibungai dengan rasa cinta.

Muda hanya bekerja sebagai nelayan, tiada pendapatan tetap dan sekarang tidak lagi mampu menangkap ikan di laut seperti zaman mudanya dan hanya mampu tinggal di sebuah rumah usang.

Rumah mereka juga sempit, tiada almari pakaian, tiada meja makan dan segalanya hanya di atas lantai. Di ruang sempit itulah juga mereka melakukan semuanya termasuk solat.

"Dia perlukan bantuan dan perhatian saya dan itu semua saya lakukan selama 20 tahun dan saya masih sayangkan dia sama seperti sebelum dia jatuh sakit sehingga ke hari ini.

"Saya bersyukur mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM350 sebulan kerana menjaga isteri sakit. Duit ini juga menampung hidup kami berdua," katanya.