KOTA BHARU – Pelantikan peguam dan bekas ahli PKR Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan satu lagi janji manis dinodai kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pemuda Umno Negeri, Noor Hariri Mohd Noor berkata, mungkin wujud desakan pihak tertentu melibatkan pelantikan tersebut dan tidak mustahil jika ia datang dari DAP yang dilihat banyak menguasai pentadbiran negara masa ini.
"Ini membuktikan DAP ingin membuat pendakwaan terpilih terhadap pemimpin pembangkang kerana mereka terdesak untuk menutup segala pembongkaran-pembongkaran dari pihak pembangkang ke atas salah laku mereka,”katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, rakyat telah mendapat gambaran jelas bahawa DAP ingin menguasai segenap ceruk kuasa memerintah negara.
Beliau berkata, pihaknya juga tidak terkejut dengan isu-isu yang bakal direka kelak untuk menghalalkan pendakwaan terhadap pemimpin pembangkang.
"Pembangkang kena bersedia mentah dan fizikal untuk berdepan situasi ini sebab ini sudah memberi gambaran awal kepada kita apa yang akan terjadi selepas ini. Walaupun kita tidak melakukannya.
"Apa pun, nasihat kami, jalani tanggungjawab sebaik mungkin dan seadil yang mampu. Setiap tugas yang diberikan adalah disertakan juga amanah yang cukup besar terutamanya kepada rakyat dan negara,”katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Latheefa Koya ganti Mohd Shukri sebagai KP SPRM baharu