KUALA LUMPUR - Minat mendalam dan sifat ingin tahu yang menebal mendorong anak kelahiran Kuala Nerang, Kedah, Husaini Mat Rejab, menjelajah hampir tiga tahun ke seluruh negara untuk mengumpul acuan bahulu tembaga dan mendapatkan resipi gabungan bahulu tradisional.
Mesra disapa Sani, 42, sehingga kini beliau mempunyai koleksi lebih 200 acuan tembaga dengan 70 jenis acuan berbeza corak dan pernah menghabiskan RM50,000 dalam tempoh dua minggu sahaja untuk mendapatkan acuan berkenaan.
"Saya langsung tidak pernah rasa menyesal walaupun kos perbelanjaan bagi misi penjelajahan acuan tembaga mencecah RM100,000, semuanya berbaloi kerana saya telah mempunyai lebih 200 unit acuan tembaga.
"Memandangkan acuan tembaga klasik sukar didapati dan harganya agak mahal, saya pernah membeli seunit acuan tembaga dengan harga RM500,” katanya kepada Bernama.
Mengimbas detik-detik tercetusnya minat terhadap acuan dan kuih tradisional Melayu itu, Husaini berkata semuanya bermula apabila beliau menonton satu video pendek aktiviti masyarakat Melayu zaman dahulu menerusi pesanan dalam kumpulan aplikasi WhatsApp pada 2017.
"Video pendek itu mengisahkan seorang kanak-kanak membantu ibunya membuat kuih yang dibakar menggunakan sabut kelapa dan arang, selepas diselidik, rupanya kuih itu adalah kuih bahulu zaman dahulu.
"Bermula dari situ, saya tertarik untuk turun sendiri belajar di setiap negeri utara dan selatan untuk mencari resipi dan acuan bahulu lama bagi mewujudkan kembali suasana zaman silam supaya masyarakat kini tahu tentang kuih bahulu tradisi,” katanya yang membersihkan acuan menggunakan asam jawa.
Beliau yang sebelum ini bekerja dalam bidang teknologi maklumat selama 17 tahun membuka langkah sulungnya ke Pasar Payang, Terengganu kerana berdasarkan pemerhatiannya negeri itu masih mempunyai kedai menjual acuan tembaga, malangnya rata-rata kedai di pasar itu menawarkan acuan baharu dan sesuai untuk dijadikan hadiah.
Kegagalan pertama itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus merantau dari kampung ke kampung serata Malaysia bagi mendapatkan acuan tembaga idaman sehinggalah beliau tiba di Johor Bharu apabila menemui seorang wanita tua yang memiliki acuan tembaga berbentuk udang dengan tulisan jawi di belakangnya.
"Saya terus ambil peluang untuk membeli acuan itu dengan harga RM350 seunit. Tidak cukup dengan itu, saya meneruskan pencarian di lokasi-lokasi lain termasuk Melaka, Perak, Kedah dan Pulau Pinang. Kini acuan tembaga yang dikumpul sudah pun mencecah ratusan unit dan saya masih terus mencari dan mengumpulnya,” katanya.
Tidak lengkap acuan tanpa bahulunya, Husaini turut mempelajari teknik pembuatan dan pembakaran kuih bahulu tradisional sepanjang penjelajahannya itu.
"Walaupun bahan asasnya adalah telur, gula, dan tepung gandum, namun bahulu citarasa utara berlainan dengan selatan yang mana di Johor, penduduknya lebih gemar menggunakan telur ayam berbanding di Kedah dan Perak yang menggunakan telur itik,” katanya.
Teknik pembakaran pula katanya ada sebilangan kecil masyarakat di Kuala Nerang mengekalkan kaedah membakar kuih secara tradisional menggunakan arang dan sabut kelapa, manakala di tempat lain, ada yang menggunakan pasir dan arang.
Setelah bertungkus-lumus mempelajari ilmu pembuatan kuih bahulu tradisi masyarakat Melayu dahulu, Husaini kini berjaya menghasilkan bahulu ciptaannya dengan menggabungkan telur ayam dan telur itik.
"Dengan adanya tiga elemen iaitu acuan tembaga, resipi dan teknik pembakaran secara tradisional maka wujudlah kedai ‘Bahulu Arang’ yang kini bertapak di bandar raya Kuala Lumpur.
"Ini merupakan cubaan pertama saya dalam usaha mengembalikan nostalgia zaman nenek moyang untuk dipersembahkan kepada masyarakat zaman moden kini. Saya harap warisan tradisional ini akan terus seiring dengan peredaran zaman,” katanya. - Bernama