JOHOR BAHRU - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digesa untuk segera menarik semula pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu atau membubarkan sahaja suruhanjaya tersebut.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Akmal Melan berkata, gesaan itu kerana pelantikan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty itu bermotifkan politik selain disifatkan tidak berintegriti dan berat sebelah.
"Pemuda UMNO menggesa Perdana Menteri untuk segera menarik semula pelantikan Latheefa Koya ini kerana ianya bermotifkan politik, ataupun membubarkan SPRM kerana ketua dalam kepimpinannya yang tidak berintegriti dan berat sebelah sudah pasti akan mendatangkan perpecahan dalam kalangan masyarakat Malaysia,” katanya.
Mohd Akmal berkata, pelantikan Latheefa telah menafikan dengan jelas janji PH untuk mereformasikan SPRM dan memperkasakan usaha membanteras rasuah serta beberapa janji-janji lain.
Katanya, antara janji tersebut adalah mengembalikan kewibawaan institusi parlimen, kepercayaan terhadap institusi kehakiman dan perundangan serta memperkasa perkhidmatan awam.
"Dalam Buku Harapan juga, PH berjanji Jawatan-jawatan penting dalam negara seperti pelantikan ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia, SPRM dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Malaysia mestilah disahkan oleh jawatankuasa yang bersesuaian di peringkat Parlimen.
"Ini akan mengurangkan kebolehan Perdana Menteri untuk campur tangan dalam pelantikan-pelantikan penting tersebut. Namun, apa yang terjadi pada pelantikan Latheefa Koya ini?,” katanya.
Beliau berkata, PH telah mengkhianati janji malah menipu sehingga menyebabkan rakyat memilih mereka sehingga berjaya membentuk kerajaan pasca PRU14 yang lalu.
"Walaupun PH melihat pelantikan tersebut perlu bagi menjamin kekuasaan mereka, tetapi ianya bertentangan dengan prinsip dasar yang mereka sendiri nyatakan dan ianya boleh menyebabkan pelbagai tafsiran dan kritikan sama ada di dalam atau di luar negara,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Latheefa Koya ganti Mohd Shukri sebagai KP SPRM baharu