KLANG –"Tolong jangan komen atau kecam sesuka hati tanpa mengetahui kebenaran cerita sebenar.”
Demikian luahan pasangan Siti Norsyahirah Mohd Fauzi, 24, dan suaminya, Jalani Salleh, 28, selepas video mengenai anaknya, Ahmad Raiyan, 5, ditemui di Jalan Sungai Sireh dalam keadaan cedera di dahi dan berlumuran darah selepas terjatuh daripada motosikal tular di laman sosial, sejak petang semalam.
Dalam video itu, mangsa menangis teresak-esak dan ditenangkan oleh pegawai perubatan sebelum memperkenalkan dirinya sebagai ‘abang’ dan memberitahu ayahnya dikenali sebagai Jai.
Dia hanya mampu mengangguk ketika ditanya sama ada tinggal di Flat Sri Perantau sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menurut Siti Norsyahirah, ketika kejadian, dia berada di dapur manakala suaminya tertidur selepas kepenatan beraya.
"Kami datang beraya di rumah mertua di Sungai Sireh dan selepas penat beraya, suami tertidur manakala saya di dapur membasuh pinggan.
"Sebelum kejadian, Raiyan masuk ke dapur jumpa saya sambil tunjuk duit sambil tersenyum. Tapi dia tak cakap apa-apa dengan saya,” katanya ketika ditemui di HTAR, hari ini.
Katanya, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan jiran terdekat.
"Jiran beritahu Raiyan sudah dibawa ke HTAR kerana cedera selepas terjatuh dari motosikal. Kami terus bergegas ke hospital untuk melihat keadaan Raiyan,” katanya.
Sementara itu, Jalani berkata, anak sulung daripada dua beradik itu membonceng motosikal milik datuknya bersama abang sepupu berusia 13 tahun untuk menghantar lauk kepada moyangnya di kawasan berhampiran Flat Seri Perantau.
"Memang tak ada siapa yang perasan Raiyan ikut sekali abang sepupunya naik motosikal. Ketika tiba di tempat kejadian, abang sepupunya tak perasan ada bonggol dan Raiyan ketika itu duduk di belakang jatuh ke atas jalan kerana tertidur.
"Abang sepupunya terus angkat Raiyan untuk dibawa pulang ke rumah tetapi jiran kami yang menaiki kereta tegur dan mahu bawa Raiyan ke hospital.
"Kebetulan ada ambulans melalui kawasan kejadian dan pegawai perubatan segera melihat keadaan Raiyan. Mungkin individu itu tak tahu situasi sebenar dan muat turun video terbabit,” katanya.
Dia yang juga peniaga pakaian terpakai berkata, mereka tidak pernah mengabaikan anaknya.
"Macam-macam komen netizen di Facebook, ada yang cakap kami abaikan Raiyan hingga berani benarkan dia membonceng motosikal. Ada juga yang kata Raiyan cedera akibat bermain basikal lajak.
"Macam mana budak sekecil itu boleh kayuh basikal sedangkan dia pun tak ada basikal. Kami tidak pernah tinggalkan anak kami sendirian, malah bila kami berniaga pun, kami kami bawa dia dan adiknya sekali.
"Cukuplah beri komen yang bukan-bukan tanpa tahu cerita sebenar,” katanya.
Kata Jailani, akibat kejadian itu, Raiyan terpaksa menjalani pembedahan di dahi kanan.
"Doktor terpaksa jahit dahi Raiyan kerana lukanya agak dalam. Walaupun masih trauma, Raiyan masih boleh tersenyum dan bercakap.
"Insya-ALLAH, mungkin esok atau lusa Raiyan dah boleh keluar,” katanya bersyukur anaknya hanya mengalami cedera ringan.