MELAKA - Meter bacaan harga pada salah satu pam minyak di sebuah stesen minyak di negeri ini didakwa meningkat sebaik nozul diangkat meskipun tanpa mengalirkan minyak.
Keadaan tersebut dikatakan dialami salah seorang pengguna lantaran terus memuat naik video situasi itu di laman sosial Facebook dan menjadi tular sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen.
Video berdurasi 27 saat itu tular sejak semalam yang dimuat naik oleh pengguna akaun Facebook menggunakan nama Vince Leng.
Pengguna berkenaan dipercayai sudah ke kaunter bagi mendapatkan penjelasan daripada pemilik stesen minyak namun belum mendapat sebarang maklum balas setakat kini.
Turut dipercayai, stesen minyak dari pengeluar syarikat sama mengalami masalah sama di beberapa kawasan lain di Melaka.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Jaiya Abu berkata, beliau akan menyiasat kesahihan video berkenaan.
"Kami akan siasat dahulu perkara ini selepas menerima maklumat," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.