ALOR SETAR - Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah dan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah Kedah di Istana Anak Bukit, di sini hari ini, mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara Kerabat Diraja Kedah dengan rakyat.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff turut berkenan berangkat ke majlis itu.
Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin; Raja Puan Muda Kedah, Zaheeda Mohamad Ariff dan Tunku Bendahara Kedah, Datuk Seri Diraja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah.
Berangkat sama, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan Tunku Laksamana Kedah Datuk Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.
Pengunjung disajikan aneka juadah hari raya seperti nasi tomato, sate, apom lenggang, bihun sup, aiskrim, ketupat, lemang dan rendang dalam majlis bermula jam 9.30 pagi hingga 1 petang itu.
Turut berlangsung, majlis penyampaian sumbangan duit raya kepada kanak-kanak dalam majlis tersebut.
Sementara itu, pengunjung, Mohd Asri Morat, 39, berkata, dia teruja kerana berpeluang menghadiri dan meraikan sambutan Aidilfitri melalui majlis itu.
"Alhamdulillah, saya gembira sangat apabila diberi kesempatan datang ke majlis ini dengan seluruh ahli keluarga dari Kulim," katanya.
Manakala, Mohd Faris Mohd Fadzil, 33, dari Taman Wira, di sini, berkata, dia menyifatkan pengalaman meraikan Aidilfitri dalam Istana Anak Bukit sebagai satu detik sejarah.
"Saya bersyukur memandangkan peluang masuk ke dalam istana sebegini demi meraikan Syawal hanya setahun sekali," katanya.
Manakala, Shamsuria Husin, 35, berkata, dia tujuh beranak termasuk yang berusia lima bulan hingga 11 tahun gembira apabila dapat memasuki istana dan menikmati aneka juadah enak disediakan.