KANGAR - Ketika kita bergembira dalam meraikan hari lebaran bersama keluarga namun masih ada insan yang terpaksa berkorban kegembiraan itu demi pengajian mereka di universiti.
Bagi mengubat kerinduan terhadap kampung halaman seramai 150 mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diraikan dalam Majlis Aidilfitri yang diadakan di Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah, di kampus universiti berkenaan di sini.
Salah seorang daripada mereka ialah mahasiswa Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik, Md Ashequl Islam, 21, yang berasal dari Dhaka, Bangladesh.
Ashequl berkata ini merupakan pengalaman kedua berhari raya di Malaysia kerana mereka sedang menduduki peperiksaan akhir.
Katanya, tahun lepas dia dapat meraikan lebaran bersama abangnya yang menuntut di Kuala Lumpur namun tahun ini terpaksa bersendirian bersama kawan-kawan meraikan Aidilfitri kerana abangnya dapat pulang ke negara asal mereka.
"Saya hanya mampu menghubungi keluarga menerusi panggilan video, namun majlis hari ini sedikit mengubat kerinduan berhari raya bersama keluarga," katanya.
Seorang lagi mahasiswa Adawiyah Ali, 23, turut melahirkan rasa sedih kerana tidak dapat berhari raya bersama keluarga di Kota Marudu, Sabah tahun ini atas faktor peperiksaan dan kewangan.
Menurut Adawiyah, beliau perlu menyelesaikan empat kertas peperiksaan akhir selepas Aidilfitri, jadi beliau tidak pulang ke kampung dan hanya mahu menumpukan perhatian terhadap peperiksaan.
"Namun perasaan kami sedikit terubat kerana pengurusan universiti mengadakan majlis hari ini untuk meraikan kami.
"Ada juga rakan-rakan terdekat mengajak beraya bersama mereka, jika ada kenderaan Insya-ALLAH saya akan mengunjungi mereka," katanya yang juga penuntut Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan.
Terdahulu, Naib Canselor UniMAP Prof Ir Ts Dr Badlishah Ahmad ketika berucap di majlis sambutan Aidilfitri berkenaan turut memberi kata-kata semangat kepada mereka yang tidak dapat pulang ke kampung berhari raya.
Katanya, mahasiswa UniMAP merupakan pemimpin negara masa hadapan, justeru mereka perlu tabah dan kuat melakukan pengorbanan walaupun masih bergelar mahasiswa.
"Mahasiswa juga perlu membahagikan masa dengan baik agar peperiksaan akhir dapat dilakukan dengan baik, antara yang penting adalah menjaga kesihatan dan pemakanan agar dapat menjawab peperiksaan dengan baik," katanya.
Hadir sama ke majlis itu ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin dan isteri, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Prof Dr Mohd Foad Sakdan, Dekan HEPA Dr Muzammil Jusoh serta ketua-ketua jabatan universiti.