ALOR SETAR - Seorang lelaki warga Indonesia rentung manakala empat yang lain mengalami sesak nafas selepas sebuah bot mewah yang berada di kawasan pembaikan bot di Bukit Malut, Langkawi terbakar kelmarin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Balai Bomba Penyelamat (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.56 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.
Iklan
Iklan
"Ketika kejadian empat lelaki dan seorang wanita Indonesia yang juga pekerja bot sedang berada di dalam bot mewah dua tingkat berkenaan. Apabila sampai di tempat kejadian, api sedang marak dan ia berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 8.25 pagi.
"Empat mangsa yang mengalami sesak nafas dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk rawatan lanjut dan operasi mencari seorang lagi mangsa hilang dijalankan (sehingga hari ini)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, bomba terpaksa menggunakan mesin pengorek bagi membantu mencari mangsa berikutan terdapat banyak timbunan barang di dalam bot berkenaan dan Unit K9 (Unit Anjing Pengesan) telah dibawa ke lokasi.
"Mangsa yang rentung ditemui pada 7.12 malam tadi oleh Unit K9 dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dijalankan dan mayat dibawa ke hospital yang sama. Operasi selesai sepenuhnya pukul 8.16 malam," katanya. - Bernama
Artikel Berkaitan