CHANGLUN - Generasi muda Kampung Sungai Petani sepakat meneruskan tradisi memasang kira-kira 500 pelita di sepanjang jalan kampung mereka sempena Aidilfitri.
Seorang remaja, Nik Mohd. Faiz Nik Mohd Khairul Nizam, 17, berkata, kerja-kerja memasang pelita berkenaan dilaksanakan secara bergotong royong sejak pertengahan Ramadan lalu.
Katanya, bermula dengan mencari buluh untuk dijadikan tiang pelita, mereka juga membahagi tugas termasuk mengutip wang dari setiap rumah penduduk untuk menampung kos membeli minyak dan peralatan lain.
"Penglibatan anak muda di kampung ini untuk memasang pelita bukan sahaja pada usia 20-an dan ke atas, tetapi kami yang masih bersekolah termasuk di sekolah rendah juga sama-sama menyumbang tenaga untuk menjayakan aktiviti ini.
"Alhamdulillah, ini merupakan tahun kedua kami memasang pelita di sepanjang dua kilometer jalan kampung dengan menambah kira-kira 150 pelita lagi berbanding hanya 350 pelita tahun lalu," katanya ketika ditemui di sini.
Nik Mohd. Faiz yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun berkata, kesepakatan mereka itu juga berjaya mengukuhkan tali silaturahim serta semangat kerjasama antara penduduk tanpa mengira usia.
"Kami sedar ini adalah tradisi turun temurun yang wajib kita pelihara untuk memeriahkan sambutan hari raya.
"Selain itu, deretan pelita ini juga menjadi simbolik menyambut kepulangan anak-anak perantau kampung ini pulang berhari raya," katanya.
Bagi Suriati Ahmad, 40, pemasangan pelita di kampung mereka turut menarik kehadiran orang luar yang mahu melihat keunikan dan tradisi dikekalkan penduduk di situ sempena kedatangan Syawal.
"Apa yang menarik pelita ini dipasang bermula dari permulaan simpang sehingga ke penghujung kampung selain terdapat pemilik rumah yang menambah bilangan pelita di kawasan halaman rumah masing-masing untuk menceriakan lagi suasana di sini," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sungai Petani, Noor Mohamad Darus berkata, pihaknya memberi sokongan kepada usaha yang dilakukan golongan muda di kampung itu untuk menghiasi jalan tersebut.
"Jalan ini juga sebagai laluan utama pengguna yang mahu ke Kuala Nerang dan Napoh dari arah Bukit Kayu Hitam, jadi pemasangan pelita ini bertepatan kerana kami boleh berkongsi keceriaan menyambut Aidilfitri dengan orang lain.
"Selain itu, ini juga merupakan salah satu platform yang baik untuk menaikkan nama kampung ini dan Insya-ALLAH kita akan meneruskan tradisi ini di tahun-tahun hadapan," katanya.