MARANG - Hikmah di sebalik menjalani hukuman penjara, daripada tidak mengenal huruf dalam al-Quran kini bergelar al-hafiz.
Faisal (bukan nama sebenar), yang disabitkan dengan kesalahan melakukan peras ugut dua tahun lepas, mengakui kehidupan sebagai penghuni tirai besi di Penjara Marang banyak mengajar dirinya mengenali al-Quran dan mendekatkan diri kepada pencipta.
Lelaki berusia 30 tahun yang pernah menggalas jawatan penting di jabatan kerajaan itu mengakui bahawa sebelum ini banyak menghabiskan masa dengan aktiviti keduniaan sehingga lalai dan lupa tanggungjawab pada agamanya.
"Kehidupan saya sebelum berada di dalam penjara amat berbeza dengan sekarang... memang saya mempunyai segalanya seperti kemewahan, jawatan tinggi serta kuasa tetapi saya jahil, tidak pandai mengaji, saya lupa Allah dan apabila melihat al-Quran tidak pernah terdetik di hati saya untuk cuba membaca mahupun memahami isi kandungan kalam Allah itu.
"Alhamdulillah di sini (penjara) saya berpeluang mencari diri saya yang sebenar dan mendapat peluang kedua untuk mendalami ilmu agama, belajar tajwid, belajar membaca al-Quran dan dapat mengisi kekosongan hati yang sebelum ini saya tidak temui ketika menjalani hidup bebas di luar sana,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Penjara Marang.
Faisal yang dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun empat bulan sejak 2017, kini masih perlu menjalani hukuman berbaki dua tahun lagi sebelum dibebaskan.
Menurut bapa kepada tiga cahaya mata ini, di awal hidupnya di penjara tersebut, dia tidak pandai membaca al-Quran malah tidak mengenali huruf jawi, namun di Rumah Mengaji itulah dia diajar membaca sehingga kini mampu menghafal lima juzuk al-Quran dalam tempoh dua tahun.
Walaupun pada peringkat awal agak sukar baginya untuk menanam perasaan cinta kepada kalam ALLAH SWT itu, namun berbekal tekad untuk berubah dia memaksa dirinya untuk belajar, malah hasil bantuan dan tunjuk ajar ustaz di penjara, ia menjadi amalan setiap hari.
Seorang lagi rakan sekelasnya Hanif, 26, (bukan nama sebenar) berkata, belajar al-Quran adalah impian yang disembunyikan ketika dia belum dipenjarakan tetapi malu dan segan dengan keadaan sekeliling, tetapi ia berubah apabila dimasukkan ke situ April tahun lalu, berikutan kesalahan penyalahgunaan dadah, samun dan memeras ugut.
"Dulu saya ingin belajar al-Quran tapi dengan umur yang telah dewasa dan persekitaran setempat membuatkan keinginan tersebut terkubur begitu sahaja... lagipun saya malu untuk belajar kerana saya terlibat dengan pelbagai masalah sosial di luar sana.
"Apabila saya dimasukkan ke sini (penjara) saya memohon untuk masuk ke Rumah Mengaji agar dapat mengejar impian untuk belajar agama. Di sini tiada istilah malu untuk belajar kerana kami diajar untuk saling membantu dan memberi sokongan moral sesama kami,” katanya.
Tambahnya, di Rumah Mengaji mereka diajar pelbagai ilmu agama termasuklah bertadarus dan hafazan al-Quran malah bermula daripada membaca iqra', kini beliau sudah mampu menghafaz.
Sementara itu, Pengarah Penjara Negeri Terengganu, Ahmad Saidi Hamzah berkata melalui pembelajaran di Rumah Mengaji, penghuni Penjara Marang dapat mendalami ilmu agama dan membaiki akhlak mereka sepanjang tempoh menjalani hukuman.
"Program rumah mengaji ini merupakan kesinambungan program pembangunan Islam yang daripada sini kami akan mencungkil bakat-bakat banduan dan bagi mereka yang berkebolehan akan dipilih menyertai program hafazan yang berlangsung di luar penjara,” katanya.
Tambahnya lagi, kini seramai 30 hingga 35 banduan ditempatkan di Rumah Mengaji tersebut dan perlu mengikuti kelas al-Quran seawal 8 pagi hingga 5 petang.
Menurut Ahmad Saidi, di penjara tersebut banduan akan diberi pendedahan dan pengisian agama oleh ustaz daripada Jabatan Agama Islam dan bagi banduan beragama lain akan diajar oleh guru agama masing-masing melalui pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkolaborasi bersama Penjara Marang. - Bernama