Jalan Daud di Muar dihiasi lampu pelita

Iklan
Rekaan basikal aiskrim menjadi tema baharu tahun ini.

MUAR - Bulatan persimpangan Jalan Daud di sini diterangi dengan ratusan pelita tatkala Aidilfitri nyata bukanlah suatu yang asing.

Malah fenomena ini turut menjadi budaya sebahagian besar warga Muar yang pastinya ternanti-nanti dengan reka bentuk berbeza diolah menggunakan cahaya pelita saban tahun.

Iklan
Iklan

Bermula malam tujuh likur, pekarangan bulatan persimpangan Jalan Daud pasti akan dibanjiri dengan kenderaan luar yang berhenti untuk melihat dan bermain dengan lambakan pelita di situ

Bagaimanapun, bukan sahaja warga Muar yang teruja tetapi fenomena ini turut memberi tarikan kepada pengunjung luar yang tidak melepaskan peluang untuk datang ke Jalan Daud.

Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Jalan Daud, Abdul Rahman Ismail berkata, pelbagai masyarakat terutama yang pulang ke kampung halaman akan sama-sama membanjiri kawasan itu.

"Budaya sudah tercetus sejak 1975 dan fenomena ini bukan asing kepada kebanyakan orang di sini malah pemasangan pelita yang kini semakin sepi membuatkan ramai ibu bapa di luar sana mahu mendedahkan tradisi ini kepada anak-anak mereka dengan berkunjung ke Jalan Daud.

Iklan

"Bukan sahaja di Johor tapi pelbagai negeri termasuklah warga Singapura juga datang ke sini untuk sama-sama memeriahkan. Orang ramai bebas bermain bunga api atau bergambar dan membuat pelbagai aktiviti namun perlu berhati-hati kerana penduduk memang tidak melakukan kawalan di sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Generasi muda Jalan Daud kini menjadi pelapis meneruskan tradisi pemasangan pelita di kawasan itu.

500 pelita bentuk basikal

Abdul Rahman berkata, bagi tahun ini, sebanyak 500 biji pelita diperuntukkan bagi mengetengahkan tema basikal aiskrim.

Menurutnya, segala idea dan pemasangan kini dilakukan generasi muda yang juga warga Jalan Daud.

"Sejak beberapa tahun ini, kami sebagai orang lama dah tak lakukan kerja-kerja menyediakan pelita raya kerana keadaan kesihatan dan kudrat namun anak-anak penduduk di sini yang masih usia belasan tahun sudi meneruskan budaya kami apabila mereka ambil alih kerja memasang pelita.

"Bermula pemilihan tema, mencari kayu dan pelbagai lagi semua mereka yang sediakan. Cadangan konsep basikal aiskrim pun mereka yang pilih dan saya pun tak tahu maksud sebaliknya,” katanya.

Abdul Rahman berkata, pihak atasan di komuniti itu hanya menyediakan surat-menyurat kepada jabatan berkaitan.

"Kita akan maklum pada syarikat pembersihan SWM untuk mereka memotong rumput di sini terlebih dahulu termasuklah surat kebenaran kepada Majlis Perbandaran Muar (MPM).

"Selain itu, kami juga tidak ketinggalan memohon sumbangan daripada pihak-pihak berkaitan dan tahun ini, Pusat Khidmat DUN Bentayan memberikan peruntukan RM500,” katanya sambil memaklumkan kos keseluruhan bermula malam tujuh likur sehingga Aidilfitri bernilai RM2,000.

Tradisi terus dikekalkan

Abdul Rahman dalam pada itu turut berasa bangga kerana tradisi yang dikekalkan sehingga kini terus mendapat sokongan dan kerjasama daripada jiran tetangga.

Menurutnya, dia dan penduduk Jalan Daud akan terus menyemarakkan lagi tradisi berkenaan kerana ia sekali gus mendedahkan kepada generasi kini mengenai budaya memasang pelita.

"Tradisi pasang pelita dah tak macam raya dulu. Sekarang ada pelita elektrik, malah kediaman juga dah tak banyak pasang pelita macam dulu. Jadi bila kami kekalkan budaya seperti ini, ia secara tak langsung mendidik kanak-kanak masa kini untuk tahu makna pemasangan pelita.

"Selain itu bak kata pepatah, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Ia membuktikan warisan budaya perlu dipertahankan terutamanya kepada golongan muda-mudi,” katanya.