KODIANG - Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik melahirkan rasa sedih dengan beberapa kejadian pelajar yang cedera parah akibat bermain mercun pada sambutan Aidilfitri tahun ini.
Katanya, dalam kegembiraan menyambut lebaran, pelajar-pelajar perlu mengutamakan keselamatan diri dan tidak mendedahkan diri dengan bahaya.
"Setiap yang kita lakukan perlu ada batasnya... adik-adik kalau boleh janganlah sampai ada yang hilang jari, hilang tangan dan sebagainya.
"Apa yang penting di hari raya ini kita dapat meluangkan masa bersama-sama dengan sahabat handai dan sudara mara yang setahun sekali saja kita dapat bertemu," katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbukanya di Kampung Gajah Putih,Mukim Ah Padang Sera di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Maszlee berkata, setakat ini beliau masih belum mengetahui jumlah sebenar pelajar yang menjadi mangsa mercun pada Ramadan lalu.
"Saya masih belum terima laporan... kena tunggu sekolah buka, baru kita dapat jumlah ramai pelajar tidak hadir kerana cedera akibat mercun,” katanya.
Dalam pada itu, Maszlee turut mengetengahkan tema Kasih Sayang, Kegembiraan dan juga saling Menghormati sempena sambutan Aidilfitri kali ini.
"Tema ini dipilih oleh kementerian kerana ia merupakan sebahagian daripada rencah kepada kemanusiaan itu sendiri.
"Maksudnya dalam kehidupan manusia kita perlukan semua nilai ini walaupun kita berbeza pandangan, fahaman, agama, latar belakang dan darjat tapi kita jadikan hari raya ini untuk saling menghormati dan merayakan hari bermakna ini.
Tambahan pula di Malaysia ini hari raya menjadi sambutan untuk semua kaum bukan sahaja bagi umat Islam sahaja," katanya.