Rekrut kanak-kanak sertai kumpulan pengganas

Iklan
Antara suspek yang terlibat dengan kumpulan pengganas dan berjaya ditahan polis.
KUALA LUMPUR – Seorang warga Filipina ditahan dipercayai berperanan merekrut kanak-kanak menyertai kumpulan pengganas Abu Sayyaf Group (ASG) dan dijadikan perisai manusia semasa bertempur diberkas Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman.

Suspek berusia 35 tahun ini antara lapan individu yang ditahan dalam operasi khas di Putrajaya dan Sabah sejak 30 Oktober hingga Isnin lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, dalam tangkapan pertama pada 30 Oktober di Putrajaya, polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang bekerja sebagai ejen menjual jongkong emas.

Menurutnya, dipercayai suspek ini terlibat dalam menyalurkan dana bagi tujuan membiayai aktiviti keganasan kepada Akel Zainal seorang rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas Daesh di Syria.

"Tangkapan seterusnya adalah pada 1 November di Tenom, Sabah membabitkan tiga suspek warga Filipina berusia 27 hingga 51 tahun.

"Suspek-suspek ini merupakan anggota kumpulan ASG yang terlibat dalam kegiatan ‘kidnapping for ransom (KFR)’ di selatan Filipina dan Sabah. Salah seorang suspek juga mempunyai kemahiran dalam menghasilkan senjata api bagi kegunaan kumpulan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, susulan itu, pada 8 November di Ranau, Sabah, polis juga telah memberkas dua suspek warga Filipina berusia 35 dan 46 tahun merupakan pekerja buruh serta juruteknik yang sedang merancang untuk meloloskan diri ke selatan Filipina.

Katanya, siasatan juga mendapati kedua-dua suspek ini merupakan anggota kumpulan ASG dan terlibat dalam kegiatan KFR di selatan Filipina dan Sabah.

"Malah salah seorang suspek berusia 35 tahun ini juga dikesan berperanan merekrut kanak-kanak untuk menyertai ASG untuk dijadikan perisai manusia semasa bertempur dengan tentera Filipina di Basilan, Filipina. Malah suspek ini juga terlibat dalam memenggal kepada tebusan,” katanya.

Kemudian, pada Sabtu dan Isnin lalu masing-masing di Kinarut dan Tenom, Sabah, dua lagi suspek warga Filipina juga berjaya diberkas polis.

"Suspek pertama berusia 30 tahun bekerja sebagai tukang besi adalah seorang komander kumpulan ASG dan merupakan orang kanan kepada pemimpin kanan ASG, Furuji Indama.

"Seorang lagi pula adalah suspek berusia 60 tahun dan bekerja sebagai peniaga pasar malam dipercayai berperanan untuk melindungi salah seorang suspek yang ditahan pada 8 November lalu,” katanya.

Katanya, kesemua suspek ini akan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).