JOHOR BAHRU - Dua kereta terbakar, manakala empat kereta lain mengalami kerosakan selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 27.5, Lebuh Raya Senai-Desaru, semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan melibatkan enam kereta itu sekitar jam 12.11 tengah malam.
"Hasil siasatan mendapati kereta pertama iaitu Proton Saga dari arah Senai menghala ke Desaru telah terbabas ke bahu kanan jalan dipercayai disebabkan tayar pecah.
"Kemudian kereta kedua hingga keenam yang dari arah sama tidak dapat mengelak, lalu berlaku pelanggaran," katanya di sini hari ini.
Ismail berkata, kemalangan terbabit menyebabkan Proton Saga dan kereta kedua (Proton Persona) terbakar manakala kenderaan yang lain mengalami kerosakan.
"Jenis jalan lurus empat lorong dua hala, permukaan jalan kering dan cuaca baik. Kemalangan berlaku pada waktu malam.
"Punca kemalangan masih dalam siasatan," katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II, Yusrin Unin berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memadamkan kebakaran tersebut.
"Kami menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.58 malam sebelum bergegas ke tempat kejadian. Bagaimanapun ketika tiba di lokasi kesemua mangsa yang cedera telah dibawa oleh orang awam ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya.