Semangat PH perjuang reformasi institusi didakwa sudah hilang

Iklan
Yee Kew

SHAH ALAM - Semangat Pakatan Harapan (PH) yang selama ini berjuang untuk melakukan reformasi institusi didakwa telah hilang apabila Latheefa Koya dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew berkata, PH sudah berjanji kepada rakyat untuk memastikan semua agensi penting membabitkan Jabatan Kehakiman, Jabatan Audit, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan SPRM bebas daripada sebarang pengaruh politik.

Iklan
Iklan

"Kita sudah janji jika PH jadi kerajaan, kita akan memperkasa dan memberikan kuasa kepada Parlimen untuk mengesahkan pelantikan semua ketua-ketua agensi ini.

"Kita juga mahu kuasa Perdana Menteri dikurangkan terutama melibatkan pelantikan jawatan yang penting sebagai satu cara untuk menghentikan korupsi dan memastikan institusi terbabit bebas.

Iklan

"Memang Perdana Menteri ada hak, tetapi di mana semangat Pakatan Harapan. Ini adalah persoalan paling penting," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini hari ini.

Hari ini, Yee Kew antara lebih 1,000 orang yang sudah menandatangani sebuah petisyen dalam talian, Change.org bagi mendesak Latheefa berundur daripada jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang dilantik 4 Jun lalu.

Iklan

Beliau berkata, tandatangan itu bukan bertujuan untuk menafikan kredibiliti, keupayaan dan integriti Latheefa sebaliknya sebagai bantahan terhadap proses pelantikan yang dilakukan Perdana Menteri.

"Jika Perdana Menteri boleh mengetepikan Parlimen dan anggota Kabinet dalam membuat keputusan penting ini dan melantik sesiapa sahaja yang dia mahu, bagaimana rakyat akan mempercayai agensi ini nanti boleh menjadi bebas.

"Jadi kita harus memastikan rakyat percaya dan yakin kepada kita dengan tidak membenarkan seorang individu melantik orang tertentu dan dalam masa yang sama perlu ada ketelusan, sebab itu kita perlu ada Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen," katanya.