ALOR SETAR - Tiga kenderaan dan sebuah garaj rosak akibat dihempap pokok tumbang di Taman Dahlia di sini kelmarin.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (Pertahanan Awam) Mohd Zain Bahrum berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2 petang berkaitan kes pokok tumbang itu.
Mohd Zain berkata, sepasukan 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Setar dengan dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian itu.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota APM Kota Setar mendapati sebatang pokok tumbang menimpa sebuah garaj dan tiga kereta.
"Bagaimanapun, kita mendapati tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira lima jam bagi membersihkan kawasan pokok tumbang.
Menurut Mohd Zain, anggota APM Kota Setar sentiasa bersiap-siaga menghadapi sebarang bencana pada musim perayaan di daerah itu.