Rumah 'budak kerbau' jadi tumpuan sempena Syawal

Iklan
Muhammad Syukur (lima, kanan) bersama bapa, Khamis Jusoh (dua,kanan) merakam gambar bersama pelbagai lapisan tetamu yang bertandang bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

KUALA TERENGGANU – Sambutan Aidilfitri tahun ini sudah semestinya lebih meriah bagi ‘budak kerbau’, Muhammad Syukur Khamis, 14, kerana kediamannya di Kampung Banggol Katong, di sini, tidak putus-putus menerima tetamu yang bertandang.

Abangnya, Muhammad Alias, 29, berkata, walaupun tidak boleh menganggarkan jumlah tetamu yang hadir, sambutan Aidilfitri tahun ini lebih meriah dengan pertambahan ahli keluarga baharu.

Iklan
Iklan

"Tahun ini mungkin yang paling gembira adalah Muhammad Syukur kerana ramai yang nak bertemu dia lebih-lebih lagi pada hari raya ini.

"Lebih meriah lagi sebab pertambahan ahli keluarga baharu selepas saya dan seorang lagi abang saya, Muhamad Kamil Khamis, 30, melangsungkan majlis perkahwinan Februari lalu,” katanya.

Iklan

Ditanya juadah yang disajikan kepada tetamu yang bertandang, katanya, menu raya tahun ini dibuat secara ringkas asalkan memuaskan hati tetamu yang berkunjung.

"Tahun ini kita buat menu biasa dan ringkas sahaja dan kita jamu apa yang ada kepada tetamu. Ada tapai, nasi dan bihun serta kuih muih yang lain.

Iklan

"Walaupun begitu, jumlah kehadiran tetamu memang meriah. Mereka hadir seawal jam 10 pagi hingga lima petang. Ada rakan-rakan ayah saya dan ada juga tetamu yang memang ‘peminat’ dan mahu bertemu Syukur,” katanya.

Tambahnya lagi, ada juga tetamu yang menempah untuk merakam gambar keluarga sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di kandang kerbaunya di Kampung Kubang Bujuk.

"Hari ini (semalam) pun ada yang dah tempah kandang kerbau untuk buat lokasi rakaman gambar raya,” katanya.

Muhammad Syukur dikenali ramai selepas gambar memaparkan aksinya bersama sekawan kerbau hasil rakaman Mohd Nazri Sulaiman menjadi tular di media sosial 10 Januari lalu selepas memenangi pertandingan fotografi peringkat Asia.

Gambar berjudul ‘Sharing Emosi’ (Berkongsi Emosi) itu memaparkan pelajar tingkatan dua di Sekolah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu itu sebagai subjek utama duduk bersandarkan seekor kerbau di kawasan lumpur manakala sekumpulan lagi haiwan itu berkerumun di belakangnya.

Karya itu diangkat sebagai Imej Asia 2018 oleh Asian Geographic, bagi kategori Jalanan/Orang Terbaik selain turut tersenarai dalam 20 gambar terbaik dunia.