Teruja pindah rumah dari beraya

Iklan
Yahaya ( dua dari kiri) bersama Mohamad Fariz (kiri) melihat baju raya anak-anak Kamsiah (kanan) yang beraya di rumah baharu mereka.

SITIAWAN - Setiap individu mengimpikan untuk mempunyai kediaman sendiri lebih-lebih lagi mereka yang kurang berkemampuan untuk merasa hidup selesa bersama keluarga.

Itu yang dirasakan Kamsiah Abu Bakar, 39, seorang pembantu kedai makanan selepas hampir 20 tahun duduk menyewa rumah bersama suaminya dalam membesarkan anak-anak mereka.

Iklan
Iklan

Kamsiah ketika ditemui pemberita menceritakan dia tidak menyangka namanya layak menerima Rumah PerakKu selepas mengisi permohonan di pejabat penghulu berdekatan kediaman yang disewanya di Batu 14, Lekir, Sitiawan dua tahun lalu.

"Sejak dahulu lagi saya mengimpikan untuk mempunyai kediaman sendiri tetapi apakan daya kami suami isteri tidak berkemampuan jadi kami terpaksa menyewa beberapa buah rumah dengan bayaran antara RM150 hingga RM250 sebulan.

Iklan

"Pernah ada masa saya berfikir apa nasib duduk rumah orang bayar sewa sedangkan kalau duit sewa itu di bayar untuk rumah sendiri lagi baik," katanya ketika ditemui di kediamannya di Rumah PerakKu Taman Mohd Wazir, Batu 10 Lekir di sini baru-baru ini.

Menurut Kamsiah, dia dan suaminya Mohd At-Tarmidzi Ismail, 41, merasa teruja apabila dimaklumkan mereka sudah boleh berpindah ke kediaman yang dimiliki melalui sewa beli itu pada 29 Mei lalu.

Iklan

"Kalau boleh kami nak masuk awal Mei lalu tapi api dan air tak masuk lagi jadi bila dimaklumkan semua kemudahan itu sudah dipasang kami terus berpindah 29 Mei untuk merasa beraya di rumah sendiri," katanya.

Kamsiah berkata kerana terlalu teruja untuk berpindah di rumah baharu dia dan suami hanya melakukan persiapan raya dalam keadaan bersederhana memandangkan mereka lebih teruja menyiapkan rumah terlebih dahulu.

"Kami hanya beli baju raya untuk empat anak kami sahaja kerana lebih teruja nak siapkan kemas dan hias rumah supaya dapat tinggal dalam keadaan lebih selesa," katanya.

Hampir 60 peratus pemilik sudah berpindah

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang Yahaya Mat Nor berkata, pembinaan Rumah PerakKu Taman Mohd Wazir, Batu 10, Lekir, Sitiawan ini merupakan projek Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) dengan keluasan 4.82 ekar melibatkan 50 unit rumah.

"Setiap unit Rumah PerakKu ini bernilai RM150,000 tetapi dijual kepada golongan B40 dengan harga cuma RM20,000 dan di bayar melalui sewa beli bagi memastikan golongan ini mempunyai kediaman sendiri.

"Kita tahu ada di antara mereka tidak mempunyai slip gaji namun kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan pihak Baitulmal atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta manaomana sumber yang boleh meyakinkan bank pembayaran semula akan dilakukan pembeli," katanya.

Menurut Yahaya pihaknya berusaha dalam memastikan penerima rumah berkenaan dapat menduduki kediaman mereka sebelum Aidilfitri dan ia tercapai selepas kemudahan elektrik dan air dimasukan pada 29 Mei lalu.

"Saya begitu gembira apabila meninjau suasana di Rumah PerakKu di Batu 10, Lekir ini di mana semua pemilik sibuk mengemas rumah serta sudah mula berpindah bagi merasa beraya di rumah baharu mereka.

"Saya yakin baki pemilik rumah yang belum berpindah ini akan berpindah selewat-lewatnya selepas Aidilfitri dan harapan saya agar semua penduduk dapat hidup harmoni dan memanfaatkan pemberian kerajaan ini," katanya.

Yahaya turut mengingatkan kepada semua penerima Rumah PerakKu agar menjalankan tanggungjawab mereka selepas menerima rumah berkenaan dengan membuat bayaran setiap bulan bagi mengelakkan sebarang masalah.

"Hargai peluang yang ada ini dengan sebaiknya dan saya berharap jagan culas bayar sebab anda mendapat rumah pada harga yang sangat murah di mana ramai lagi mengimpikannya," katanya.

Pegawai Daerah Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata kira-kira 60 peratus daripada 50 penerima Rumah PerakKu Taman Mohd Wazir, Batu 10, Lekir sudah berpindah sebelum Aidilfitri.

Menurut Mohamad Fariz lagi, pihaknya juga menegaskan bahawa Pejabat Daerah dan Tanah Manjung tidak akan membenarkan mana-mana pemilik rumah berkenaan menjual rumah mereka sesuka hati.

"Saya tidak akan benarkan mereka menjual rumah yang dibeli dengan harga RM20,000 ini memandangkan nilainya begitu tinggi, apa yang kami benarkan hanyalah pertukaran nama kepada isteri atau anak pemilik sahaja.

"Jadi saya berharap mereka jagalah rumah ini sebaiknya kerana untuk dapatkannya bukalah mudah lebih-lebih lagi rumah di Manjung harganya terlalu tinggi kerana itu sumber yang ada kita manfaatkan kepada rakyat terutamanya yang kurang berkemampuan," katanya.