Zara Zya rindukan kenangan Lebaran ketika kecil

Iklan
Zara - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri memberi peluang kepada umat Islam di seluruh dunia menyucikan jiwa, membersihkan dosa dengan saling bermaafan dan mengeratkan lagi silaturahim.

Bagi umat Islam di Malaysia, kebanyakannya mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung dan meluangkan masa bersama keluarga.

Bagaimanapun ada juga segelintir yang memilih untuk bercuti bagi mengeratkan lagi perhubungan.

Iklan
Iklan

Begitu jugalah dengan aktres Zara Zya dan keluarga, yang memilih untuk meluangkan masa bersama dengan bercuti.

Cerita Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, kesibukan tugas pada hari-hari biasa menyebabkan mereka sukar untuk mendapatkan masa untuk berkumpul.

Iklan

Jadi kebiasaannya, kesemua adik beradiknya akan bercuti pada hari Lebaran, justeru mereka membuat keputusan untuk bercuti bersama-sama bagi mengeratkan lagi hubungan.

"Kalau ajak bercuti waktu lain, orang ini tak dapat cuti, orang itu tak dapat beri jawapan, jadual clash dan sebagainya. Tapi kalau raya, memang confirm semua cuti.

Iklan

"Jadi kami ambil keputusan untuk luang masa bersama dengan bercuti. Biasanya hari kedua atau ketiga raya kami dah bergerak ke lokasi percutian.

"Tahun ini, kakak saya dah booked dan rancang untuk ke sebuah destinasi di Johor," katanya kepada Sinar Harian.

Selain meluangkan masa bersama keluarga, wanita berusia 34 tahun ini juga tidak sabar untuk menikmati pelbagai juadah yang sinonim dengan sambutan hari raya.

"Buat saya, rendang dan lontong wajib ada di pagi raya. Kalau rendang, saya 'belasah' semua, rendang ayam, daging, paru, semua saya suka.

"Saya tak berapa suka makanan yang manis, jadi kalau kuih raya memang kurang. Selalu bila raya, memang saya akan ambil makan berat berulang-ulang.

"Waktu raya saja yang dapat 'cuti' diet dan makan sedap-sedap," ujarnya.

Ditanya tidakkah dia merindui kenangan raya ketika kecil, pelakon yang terkenal menerusi drama Tuan Anas Mikael itu, tidak dapat menafikannya.

Menyifatkan zaman beraya ketika kecil dahulu dan zaman beraya kanak-kanak sekarang jauh berbeza, Zara berkata, andai dapat diundur masa, dia mahu sekali lagi melalui zaman berhari raya ketika kecil.

"Bohong kalau kata tak rindu, lebih-lebih lagi bila kita dewasa dan banyak komitmen, kita akan merindui apa sahaja kenangan ketika kecil terutama pada musim perayaan.

"Pada ketika itu, kita hanya bermain, dapat duit raya dan luangkan masa bersama keluarga serta rakan-taulan.

"Tapi sekarang, kebanyakan kanak-kanak hanya asyik dengan gajet. Pergi beraya rumah orang pun sebab ikut keluarga, tapi gajet tak tinggal.

"Susah nak jumpa kanak-kanak yang berhari raya dari rumah ke rumah. Mungkin juga kerana faktor keselamatan sekarang," katanya.

Sibuk berniaga

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya, Zara berkata, sepanjang bulan Ramadan ini dia tidak terlibat dengan sebarang penggambaran kerana sibuk mengendalikan restorannya yang baru di buka.

Restoran Suka Makan yang berada di Mutiara Damansara itu merupakan sebuah kedai seperti makanan Thai dengan konsep yang ringkas.

"Saya buka sejak awal Mei lalu dan masih lagi dalam proses mempromosikan kedai itu. Insya ALLAH saya juga merancang untuk mengadakan rumah terbuka di kedai itu nanti.

"Selain itu, saya juga sibuk dengan produk suplemen kurus bernama Trimz, di mana suplemen itu dalam bentuk sachet dan mudah di bawa ke mana sahaja.

"Alhamdulillah setakat ini Trimz Shot sudah sampai ke Jepun dan mendapat respons yang cukup positif," katanya.

Bagaimanapun sebaik sahaja balik bercuti nanti, dia akan memulakan penggambaran sebuah telefilem untuk RTM berjudul Mencari Nur.