Misi Raya Sarah Suhairi

Iklan
Sarah Suhairi - FOTO: Azrul Rafie

MEMASUKI tahun kedua bergelar anak seni bintang baharu yang sedang meningkat naik, Sarah Suhairi mengakui sambutan hari rayanya kini cukup berbeza dengan sebelumnya.

Bukan hanya dari segi persiapan tetapi rutin raya juga turut berubah apabila tumpuannya kini bukan hanya untuk keluarga dan saudara mara sahaja tetapi juga kepada rakan-rakan dan peminat yang menyokong kerjaya seninya.

Iklan
Iklan

"Sebelum ini ketika masih belajar Sarah akan beraya bersama keluarga dan ikut mereka pergi beraya di mana atau rumah siapa.

"Tapi tahun ni mungkin lain sikit kerana Sarah akan luangkan masa untuk beraya dengan kawan- kawan Sarah. Bila dah mula kerja, Sarah kenal dan jumpa ramai orang jadi Sarah kenalah memenuhi undangan beraya di rumah mereka juga.

Iklan

"Kiranya raya tahun ini lebih meriah kerana misi Sarah nak pergi beraya banyak rumah. Masa inilah nak jumpa semua kenalan untuk mengeratkan silaturahim,” ujarnya teruja.

Menurut Sarah, sudah menjadi kebiasaan dia dan keluarga untuk beraya Kuala Lumpur pada hari raya pertama dan kedua. Hanya pada hari berikutnya barulah mereka akan pulang beraya di kampung sebelah bapa di Pahang.

Iklan

"Setiap tahun Sarah dan keluarga memang akan beraya di Kuala Lumpur sahaja pada raya pertama dan kedua. Pada raya ketiga barulah balik Pahang untuk beraya di kampung ayah Sarah.

"Mak Sarah asal KL dan nenek masih ada, jadi kami dahulukan raya di sini. Sementara di Pahang sebelah ayah, nenek sudah tiada dan kami hanya beraya dengan adik-beradik ayah sahaja.

"Memang tak dapat dinafikan beraya di kampung jauh lebih meriah dari KL kerana suasananya agak berbeza. Meriahnya lain macam kerana Sarah juga ada ramai sepupu daripada lapan adik beradik ayah,” katanya.

Meskipun lahir dan dibesarkan di ibu kota Sarah mengakui bangga kerana kedua ibu bapanya masih mengekalkan amalan ziarah menziarahi ke rumah saudara-mara setiap kali raya.

"Baik raya di KL mahupun di Pahang ibu bapa Sarah memang akan tekankan amalan kunjung mengunjung ke rumah saudara-mara atau rakan kenalan. Hari raya bukan masa untuk duduk lepak rumah tengok TV dan sebagainya.

"Kalau balik raya di Pahang tu setiap hari kami cuba pergi beraya berapa banyak rumah yang mampu.

Dapat jumpa dengan semua orang dan itulah yang paling menyeronokkan.

"Tahun ni pula Sarah dah kerja jadi buat pertama kalinya juga Sarah kena keluarkan duit raya.

Kena sediakan duit raya yang secukupnya untuk beri pada kanak-kanak kerana keluarga di Pahang memang besar,” ujarnya yang memilih baju raya warna sedondon dengan keluarganya setiap kali raya.

Menyentuh tentang sambutan raya bersama peminat, kata Sarah, dia berhasrat untuk mengadakan satu majlis khas sempena Aidilfitri. Ia untuk memenuhi permintaan peminat sekali gus sebagai tanda penghargaan.

"Memang dari awal ayah ada cadangkan Sarah untuk buat meet and greet merangkap rumah terbuka sempena hari raya bersama peminat.

"Buat masa ini memang belum ada ketetapan lagi kerana Sarah kena cari masa yang betul-betul sesuai agar semua orang boleh turut serta.

"Sebelum ini peminat hanya jumpa Sarah ketika ada show atau aktiviti tertentu, jadi dengan adanya majlis seperti ini mungkin dapat beri lebih ruang untuk kami beramah mesra,” kata Sarah kepada Sinar Harian.