ST. PETERSBURG - Rusia tidak bercadang menghantar pasukan tentera atau membina sebuah pangkalan tentera di Venezuela, kata Presiden Rusia Vladimir Putin, semalam.
"Keberadaan pakar ketenteraan Rusia di Venezuela adalah selaras dengan kontrak yang ditandatangani sebelum ini," kata Putin kepada ketua-ketua agensi berita antarabangsa di St. Petersburg.
Beliau mengulas kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Twitter oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada awal minggu ini yang mendakwa Moscow telah memaklumkan Washington bahawa ia bertindak membawa keluar kakitangan Rusia dari Venezuela.
Putin juga berkata, semua pihak berkepentingan harus berkumpul di Venezuela, lapor agensi berita Turki Anadolu, semalam.
"Sekutu AS sendiri tidak menyokong campur tangan ketenteraan di Venezuela. Campur tangan ke atas hal ehwal dalaman negara lain mungkin mengakibatkan hasil yang serius dan ada kalanya tragik," katanya.
Venezuela telah digegarkan oleh tunjuk perasaan sejak Januari apabila Presiden Nicolas Maduro mengangkat sumpah bagi penggal kedua selepas pembangkang bertindak memboikot pengundian.
Ketegangan memuncak beberapa hari kemudian apabila Juan Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku presiden, satu langkah yang disokong oleh AS dan kebanyakan negara Eropah serta Amerika Latin.
Putin turut menyentuh dasar AS berhubung Iran dan menyifatkan ia sebagai menimbulkan perpecahan.
"Kami tidak bersetuju dengan dasar AS terhadap Iran. Anda tidak boleh melihat kepada penyelesaian yang berhasrat memusnahkkan sesuatu yang sudah dibina," katanya.- Bernama