MAIM proses pemohonan bantuan ikut kaedah betul

Iklan
Azman Aziz
MELAKA TENGAH - Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) tidak hanya melihat pemohon bantuan hanya berdasarkan rumah sahaja namun meneliti setiap perincian itu dengan lebih teliti dan telus.

Setiausahanya, Azman Aziz berkata, tidak wajar dan tidak adil sekiranya faktor seperti rumah besar ataupun penggunaan astro di rumah menjadi tanda aras bahawa mereka tidak layak menerima bantuan daripada MAIM.

Menurutnya, terdapat kakitangan yang terdiri daripada pegawai siasat akan turun padang untuk mengambil butiran pemohon manakala setiap maklumat permohonan itu, dibentangkan dalam jawatankuasa khas agihan bantuan setiap minggu dan dipertimbangkan berdasarkan dua kaedah iaitu haddul kifayah serta garis panduan kemiskinan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Kita tidak akan terus membuat keputusan, sama ada mereka mempunyai astro televisyen LED dan sebagainya permohonan mereka akan tetap kita proses mengikut prosedur yang ditetapkan.

"Kerana ada kes memang benar pemohon tinggal di rumah besar dan dalam rumah ada TV besar, sedangkan bila kita mengambil maklumat sebenarnya pemohon tinggal di rumah yang disediakan kemudahan itu oleh penyewa rumah itu sendiri, maka tidak adil untuk terus membuat keputusan mereka tidak layak," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, MAIM berpegang kepada beberapa teras utama seperti yang dihasratkan Pengerusi MAIM yang juga Ketua Menteri, Adly Zahari iaitu menunjukkan kepedulian rakyat, menghilangkan kelaparan rakyat, mengurangkan kejahilan rakyat dan kedukaan rakyat.

Menurutnya, selain itu difahamkan jumlah pungutan zakat negeri ini turut meningkat sebanyak 6.5 peratus berbanding tahun lalu dan akan disalurkan kepada golongan yang benar memerlukan serta layak seperti bantuan awal Ramadan sebanyak RM5.7 juta kepada fakir miskin, RM1.04 juta persediaan Ramadan golongan mualaf dan RM4.8 juta kepada asnaf fakir miskin bagi persediaan Syawal.

Dalam perkembangan lain, Azman berkata pihaknya juga terbuka menerima sebarang kecaman netizen berhubung agensi kerajaan negeri itu dan mengalu-alukan orang ramai untuk menyalurkan maklumat terutama golongan susah untuk diambil tindakan.

"Kami mengambil positif setiap apa yang tular mengenai MAIM walaupun ia berimpak negatif kerana kami tidak kisah dikecam, dipuji, dihina dan dikeji.

"Dalam masa sama kami juga berterima kasih kepada agensi media di negeri ini yang berusaha melaporkan secara seimbang mengenai MAIM selain menjernihkan keadaan dengan siaran berita yang lebih adil," katanya.