‘Adik rindu ayah’

Iklan
Amir Arman (kiri) bersama rakannya di Madrasah Tarbiyah Islamiyah Darul Hijrah.

KUALA TERENGGANU-"Adik rindu ayah. Kalau kakak dan abang cerita fasal ayah, rasa seronok sangat macam dia ada di sebelah.”

Itu luahan Amir Arman Safwan Musa, 12, yang kehilangan ayah, Musa Omar sejak berusia tiga tahun akibat sakit jantung.

Iklan
Iklan

Anak bongsu daripada lapan beradik ini berkata, dia mula memasuki Madrasah Tarbiyah Islamiyah Darul Hijrah di Chendering sejak tahun 2017 kerana ibunya, Ampuan Ali, 60, sudah berusia dan dia sendiri minat mendalami agama.

"Kadang-kadang teringatkan ayah, rasa sedih. Kalau sedih, saya hanya mampu berdoa bagi mengubat rasa rindu.

Iklan

"Emak pula membuat kuih dan hantar ke kedai. Mujurlah saya mempunyai adik-beradik yang ramai, kalau berkumpul beramai-ramai rasa seronok. Lebih-lebih lagi kalau mereka bercerita fasal ayah,” katanya yang berasal dari Kampung Serating, Marang.

Amir Arman (kiri) dan Mohd Firman Dasuki antara penghuni di Madrasah Tarbiyah Islamiyah Darul Hijrah di Chendering

Seorang lagi rakannya, Mohd Firman Dasuki Abdul Rahman, 11, turut berkongsi rasa yang sama setelah kematian ayah sejak dia berusia lapan tahun kerana penyakit paru-paru berair.

Iklan

Dia yang juga anak tunggal, kini menumpang kasih datuk dan neneknya yang menetap di Kampung Gong Tok Nasek, di sini.

"Kadang-kadang datang perasaan rindu pada ayah, tapi saya kena kuat. Saya ingat lagi masa ayah meninggal, saya menangis sebab rasa kehilangan sangat,” katanya yang sudah tiga tahun belajar di maahad itu.

Dia yang bercita-cita menjadi bilal berkata, dia seronok belajar di maahad itu kerana mempunyai ramai kawan.