Korban raya demi tugas

Iklan
Syafiq (kiri) dan Irwan membuat pemeriksaan peralatan pada jentera bomba

KUALA TERENGGANU - Alah bisa tegal biasa. Bagi pegawai dan anggota bomba, bertugas pada hari raya merupakan perkara lumrah yang perlu ditelan, dek kerana tuntutan kerja.

Mohd Irwan Onan, 40, dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu berkata, bertugas pada hari raya adalah perkara biasa baginya, sementelah dia sudah 11 tahun berkhidmat sebagai anggota bomba.

Iklan
Iklan

"Pada peringkat awal dulu, memang sedih sebab biasanya sambutan hari raya di kampung saya di Kedah memang meriah. Tapi lama-kelamaan saya sudah terbiasa, begitu juga isteri dan anak-anak.

"Pernah juga saya bertugas di pusat gerakan operasi. Biasalah bertugas di pusat gerakan ini agak sibuk, tapi yang syoknya bila ada yang datang hantar kuih raya. Rasa juga suasana dan kemeriahan raya,” katanya.

Iklan

Berbeza dengan Che Muhd Afiq Haikal Che Kamarudin, 21, yang baharu pertama kali terpaksa berjauhan dengan keluarga kerana bertugas, juadah ketupat, rendang dan sate masakan ibu pasti dirinduinya.

Jelasnya, dia terpaksa bertugas pada hari raya kali ini dengan membuat rondaan sepanjang Ops Raya.

Iklan

"Sebelum ini saya tidak pernah raya berjauhan dengan keluarga. Biasanya saya dan adik-beradik lain sibuk membeli baju raya, tapi kali ini baju celoreng inilah baju raya saya,” kata pemuda dari Machang, Kelantan ini.

Rakannya, Mohd Syafiq Ghani, 24, pula teruja dengan sambutan hari raya kali ini kerana sudah tiga tahun terpaksa bekerja pada hari raya.

Sebelum ini katanya, dia akan solat raya, takbir dan makan bersama-sama rakan di balai bomba pada awal pagi raya, sebelum meneruskan tugasan masing-masing.

"Suasana beraya di balai dengan rumah memang tidak sama. Tapi apabila kita sudah memilih untuk bekerja sebagai bomba, kena reda kerana itu tanggungjawab yang harus kita pikul,” katanya yang pulang beraya di Besut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, hanya 20 peratus daripada pegawai dan anggota di balai itu yang diberi kelulusan cuti hari raya kali ini.

Katanya, 22 anggota balai itu akan bertugas secara giliran bagi tempoh 12 jam dalam satu-satu masa.

Kesemua mereka terlibat dengan penugasan biasa dan rondaan di jalan-jalan persekutuan yang sering berlaku kemalangan sempena Ops Raya.