Pegawai bank ditipu RM3 juta angkara Love Scam

Iklan
Noorzainy

KEPALA BATAS - Seorang pegawai bank berputih mata apabila diperdaya sebanyak RM3.2 juta oleh seorang lelaki dipercayai ahli sindiket Love Scam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berusia 51 tahun itu mendakwa, dia berkenalan dengan lelaki bernama John Eric Chen melalui sebuah aplikasi, Coffee Meet Bagel pada Ogos tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bermula dari perkenalan melalui aplikasi itu, hubungan suspek dan mangsa menjadi lebih akrab dan suspek berjanji untuk berkahwin dengan mangsa dalam masa terdekat.

"Suspek mula menawarkan untuk bekerjasama dengan mangsa dalam sebuah perniagaan bernilai USD25 juta. Mangsa yang percaya dengan semua janji tersebut telah bersetuju dengan tawaran suspek.

Iklan

"Suspek kemudiannya meminta mangsa membuat pembayaran pendahuluan sebanyak USD38,000. Atas dasar percaya dan cinta, mangsa telah membuat 19 kali pindahan wang ke dalam tiga akaun yang diberikan suspek bermula Ogos sehingga September 2018," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, jumlah keseluruhan pindahan wang yang dibuat mangsa bernilai USD815,331 iaitu bersamaan RM3.26 juta.

Iklan

"Selepas kesemua wang itu dipindahkan, suspek tidak dapat dihubungi lagi. Menyedari dirinya terperangkap dengan sindiket Love Scam, mangsa telah membuat laporan polis Selasa lalu untuk tindakan lanjut.

"Dari keterangan mangsa, dia memperolehi kesemua wang tersebut dari simpanannya sendiri dan wang gajinya. Lebih teruk, mangsa juga ada meminjam dari ahli keluarganya untuk membolehkan dia menuruti kehendak suspek," katanya.

Noorzainy turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah jatuh cinta dengan individu yang baharu dikenali terutamanya di media sosial.

"Saya menasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket Love Scam ini.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah jatuh cinta atau pujuk rayu daripada seseorang yang baru dikenali melalui media sosial seperti Facebook, Instagram atau WeChat," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.