SHAH ALAM - Pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu dibimbangi mempunyai agenda politik yang berat sebelah dan tidak adil.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, latar belakang Latheefa sebagai bekas pemimpin tertinggi dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menjejaskan kemampuan beliau untuk memberikan keadilan terutama kepada pembangkang.
"Kita tidak mempersoalkan kewibawaan Latheefa sebagai peguam atau kemampuan di dalam mengendalikan kes namun kita mempersoalkan kemampuan beliau berlaku adil kepada pihak pembangkang dan lain-lain kerana beliau adalah orang politik yang menyokong Pakatan Harapan (PH) dan sudah tentunya mempunyai agenda politik dalam setiap keputusan beliau.
"Jika dulu PH mempersoalkan pelantikan Tan Sri Apandi Ali sebagai Peguam Negara kerana pernah bertanding di dalam Pilihan Raya Umum pada tahun 1990 dan selepas itu terus bersara.
"Inikan pula baru semalam keluar dari parti PKR. Di mana suara pemimpin PH yang selama ini melaungkan perlunya SPRM sebagai badan bebas tanpa campur tangan politik? Ini jelas orang politik menjadi orang ‘Nombor 1 SPRM’ yang tidak pernah dilakukan atau berlaku zaman Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera itu berkata, beliau tidak terkejut dengan pengumuman yang dibuat kerajaan kerana tindakan tersebut bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana sudah berkali-kali mungkir janji.
"Tindakan PH melanggar janji merupakan perkara biasa dan tidak perlu dihairankan. Ini bukan pertama kali mereka (PH) mungkir janji malah berkali-kali dan mereka tidak pernah berniat pun untuk tunaikan janji pilihan raya mereka.
"Mereka menafikan hak rakyat yang mengundi memberikan sokongan sehingga mereka perolehi kemenangan untuk melihat kononnya satu pembaharuan kepada kerajaan yang ada,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan Janji 16 dalam Buku Harapan jelas berkaitan jawatan-jawatan penting untuk tidak melantik dari kalangan orang politik tidak ditepati oleh pucuk pimpinan PH dan rakyat sekali lagi ditipu oleh Kerajaan PH untuk tujuan politik mereka.
"Sejak menang, pelbagai janji tidak ditunaikan seperti penghapusan tol, menurunkan harga barang, menurunkan harga minyak, penghapusan hutang peneroka, menangguhkan pembayaran PTPTN sehingga gaji mencecah RM4,000, gaji minimum RM1,500 dan banyak lagi.
"Terbaru adalah perlantikan Latheefa yang juga bertentangan dengan janji seperti orang politik tidak boleh memegang jawatan dalam agensi kerajaan dan syarikat-syarikat milik kerajaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar beberapa nama perlu dihantar untuk diteliti dan disemak oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebelum dicadangkan kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan.
"Justeru itu kami pembangkang mengharapkan pihak kerajaan mengkaji semula pelantikan ini agar SPRM bukan sekadar badan yang perlu dilihat bebas tetapi seharusnya SPRM itu bebas dari cengkaman politik kepartian,” katanya.