Simpati jadi alasan wanita ambil tindakan jaga anak beruang

Iklan
Laporan Sinar Harian tentang penemuan beruang yang mengejutkan penduduk sebuah kondominium di Desa Pandan.

KUALA LUMPUR - Wanita yang ditahan kerana menyimpan anak beruang matahari di dalam unit kondominiumnya di Desa Pandan, di sini, Jumaat lalu memberi alasan dia simpati melihat haiwan dilindungi itu ditemui di tepi jalan sehingga mengambil tindakan menjaganya.

Ketua Pengarah Perhililtan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, wanita berusia 27 tahun itu mendakwa menemui haiwan berkenaan berkeliaran sendirian berdekatan sebuah hutan.

Iklan
Iklan

Namun menurutnya, pihaknya percaya haiwan berkenaan diperolehi daripada pihak lain.

"Sebab kasihan, dia (wanita terbabit) ambil untuk jaga beruang matahari itu. Tetapi siasatan kami percaya bahawa haiwan itu diperoleh daripada seseorang (sindiket). Kebiasaan juga anak beruang diambil selepas kematian ibunya atau dibunuh.

Iklan

"Maka, anaknya ‘tiada orang jaga’ dan diambil,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

Abdul Kadir berkata, wanita itu kini disiasat kerana menyimpan hidupan liar yang dilindungi tanpa kebenaran Perhilitan.

Iklan

"Bagaimanapun, tarikh untuk perbicaraan masih belum diketahui kerana siasatan sedang berjalan. Namun, laporan polis telah dibuat terhadap wanita itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, beruang matahari yang dipercayai berusia kurang enam bulan itu kini masih dalam jagaan Perhilitan dan pemantauan akan dibuat sebelum ia dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan, Sungkai.

"Ikut prosedur, haiwan itu akan dijaga terlebih dahulu dan selepas penilaian, beruang matahari itu akan dilepaskan semula ke hutan apabila sudah mencapai usia setahun lebih," katanya.

Mengulas sama ada orang ramai dibenar memelihara haiwan seperti beruang matahari, katanya secara dasar, Perhilitan tidak memberikan kebenaran untuk individu atau orang awam memelihara hidupan liar terancam seperti beruang.

Menurutnya, kebenaran hanya akan diberikan kepada pihak zoo untuk memelihara haiwan-haiwan terancam dan prosedur permohonan perlu dibuat kepada Perhilitan, selain memerlukan kelulusan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli.

"Beruang adalah spesies terancam yang dikategorikan sebagai hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)," katanya.

Terdahulu, video berdurasi lima saat serta gambar kepala beruang matahari cuba keluar dari tingkap kondominium kediaman wanita itu tular di media sosial.

Kehadiran haiwan liar itu disedari jiran unit berkenaan yang terdengar bunyi bising oleh beruang yang dipercayai sedang kelaparan kerana ditinggalkan sejak dua hari sebelum itu.

ARTIKEL BERKAITAN:

Jiran terkejut beruang 'minta' makanan

Penyanyi wanita ditahan pelihara beruang secara haram