KUALA LUMPUR - Lagak lima lelaki menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi ‘wheelie’ di Dataran Merdeka di sini, mengundang padah apabila mereka ditahan polis dalam Op Samseng Jalan hari ini.
Mereka yang berusia 14 hingga 27 tahun itu ditahan sembilan pegawai anggota daripada Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dalam operasi kira-kira jam 1 pagi itu.
Dalam operasi jam 1 pagi tadi, sembilan pegawai dan anggota daripada Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur yang sedang menjalankan Op Samseng Jalanan di kawasan terbabit melihat sekumpulan remaja bermotosikal dinaiki remaja lelaki berusia 14 hingga 27 tahun
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kelima-lima lelaki itu ditahan kerana menunggang secara berbahaya dan boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.
"Hasil pemeriksaan mendapati ada antara mereja didapati tidak memiliki lesen. Pemeriksaan terhadap motosikal mendapati kenderaan terbabit diubah suai termasuk dengan menggunakan ekzos bising, nombor pendaftaran yang tidak mematuhi spesifikasi dan tiada cermin sisi
"Kesemua ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Zulkifli berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 45 dan 30 tahun selepas didapati menunggang motosikal curi dan menggunakan nombor pendaftaran palsu dalam operasi berasingan kira-kira jam 11 malam tadi menerusi Op Motosikal di Jalan Pahang di sini.
"Seorang lelaki didapati menggunakan motosikal jenis Honda EX5 yang dilaporkan hilang pada tahun 2017 di Kuala Lumpur, manakala seorang lagi ditahan kerana menunggang skuter yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.
"Hasil operasi itu juga, sebanyak 118 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal kerana pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki lesen, cukai jalan tamat tempoh dan ubahsuai," katanya.