Hanya gambar pengubat rindu

Iklan
Gambar kenangan Khairul Azmir dan anak-anaknya bersama arwah Musliha.

PELABUHAN KLANG - Perasan sebak dan pilu menyelubungi hati seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) apabila menyambut Aidilfitri tanpa kehadiran isteri yang menghadap Ilahi hujung Disember lalu.

Bagaimanapun Khairul Azmir Zulkifli, 40, berkata, tiga permata hatinya bersama Allahyarham isteri, Musliha Yusoff, 39, menjadi sumber kekuatan dirinya untuk meneruskan kehidupan dan menjalani rutin harian.

Iklan
Iklan

Selepas pemergian Musliha akibat denggi berdarah, Muhammad Khir Muazzam, 13, Muhammad Khir Muammar, 8, dan Nur Khairah Asrina, 6, juga terpaksa menyambut lebaran tanpa ibu mereka.

Khairul Azmir berkata, Aidilfitri tahun ini suram dan disambut sederhana.

Iklan

Katanya, kegembiraan anak menjadi keutamaan dalam suasana keluarganya cuba menyesuaikan diri dengan kehilangan Musliha secara tiba-tiba dan mengejutkan.

"Saya sendiri perlu kuat untuk pastikan anak terus positif dalam menghadapi kenyataan ini demi memastikan mereka mampu menjalani kehidupan seperti biasa.

Iklan

"Sebelum ini arwah paling sibuk menyiapkan segala kelengkapan dan persiapan anak-anak. Laksa dan ketupat palas antara juadah istimewa yang sering dimasak oleh arwah.

"Namun raya kali ini semuanya berubah sama sekali, saya perlu belajar buat semuanya. Lagipun ini kali pertama kami sambut raya tanpa arwah sudah tentu semuanya berbeza dan janggal. Namun demi anak-anak, kami hanya sambut ala kadar sahaja. Sunyi benar rasanya bila arwah tiada,” katanya.

Mengimbau kenangan menyambut Aidilfitri bersama Musliha, Khairul Azmir berkata, mereka sekeluarga akan pulang ke kampung halaman di Perak.

"Jarak rumah saya dengan keluarga isteri hanya kira-kira 30 minit sahaja jadi kami akan pulang ke Perak kecuali jika saya terpaksa bertugas.

"Namun kali ini kepulangan kami berbeza kerana hanya mampu menziarahi dan membersihkan kubur arwah. Memang perit dan hiba tapi saya terpaksa menyembunyikan perasaan itu kerana tidak mahu anak-anak turut bersedih,” katanya.

Ditanya mengenai reaksi ketiga-tiga anaknya terhadap kematian Musliha, dia bersyukur apabila ketiga-tiga anaknya tabah dan kuat dalam menghadapi kematian ibu mereka.

"Mereka kelihatan cukup matang berbanding usia sebenar masing-masing yang masih terlalu mentah bagi menerima hakikat kehilangan tempat untuk bermanja.

"Hanya gambar pengubat rindu kepada arwah. Bagaimanapun saya perlu kuat demi anak-anak dan berharap dapat menempuh ujian ini dengan sabar serta reda,” katanya.