GEORGETOWN - Seorang tukang masak warga Syria diculik ketika berada di hadapan sebuah restoran di Tanjung Tokong, di sini, Khamis lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kejadian itu disedari abang mangsa apabila suspek menghubunginya untuk meminta wang tebusan RM100,000 sekiranya mahu mangsa dilepaskan.
Menurutnya, suspek turut mengugut abang mangsa agar memasukkan wang tersebut ke dalam sebuah akaun milik warga tempatan dalam tempoh dua jam bermula dari panggilan itu dibuat.
"Bimbang dengan keselamatan adiknya, abang mangsa membuat laporan polis mengatakan adiknya yang berusia 20-an telah diculik oleh dua lelaki warga Syria dan seorang wanita warga tempatan pada jam 5.30 petang, 6 Jun lalu.
"Hasil maklumat yang diperolehi, polis berjaya mengesan dan menahan sebuah kereta Proton Persona di hadapan sebuah restoran makanan segera di Batu Feringghi pada jam 9 malam, hari yang sama," katanya pada sidang media hari ini.
Tambahnya, hasil pemeriksaan ke atas kereta itu, polis menemui mangsa berada dalam kereta tersebut dalam keadaan tangannya diikat.
"Tangan mangsa diikat dengan pelekat di bahagian hadapan. Turut ditemui bersama mangsa, dua lelaki Syria berusia 30-an dan 50-an serta seorang wanita warga tempatan berusia 30-an.
"Hasil siasatan, salah seorang daripada lelaki Syria itu positif dadah manakala wanita tersebut mempunyai dua rekod jenayah lampau melibatkan penipuan dan dadah. Ujian saringan dadah ke atas wanita itu juga mendapati positif syabu," katanya.
Huzir berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dan suspek saling mengenali antara satu sama lain.
"Mangsa bekerja di negara ini sejak tiga tahun lalu, dan suspek juga didapati tinggal di negara ini dalam tempoh sama. Mereka mempunyai kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
"Kes ini dapat diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam dan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 yang memperuntukkan mati mandatori atau penjara seumur hidup," katanya.
Beliau berkata, suspek direman tujuh hari sehingga 13 Jun ini untuk siasatan lanjut.