Pesawah dakwa projek Muda III tak efektif

Iklan
Pesawah menunjukkan pembetung U yang dibina lebih rendah dari bendang yang menyukarkan air mengairi tanaman.

SANGLANG - Ratusan pesawah di enam kampung kawasan ini yang terlibat dengan pembangunan Projek Muda III kecewa apabila ia didakwa tidak dilaksanakan secara efektif.

Antara kampung berkenaan ialah Matang Kerengga, Lana Bulu, Teluk Gelam, Sanglang, Lubuk Pinang dan Batas Bengkok.

Iklan
Iklan

Seorang pesawah, Hamdan Hashim, 67, berkata, projek berkenaan telah berjalan sejak lebih dua tahun lalu dan sepatutnya siap Mac lalu.

Katanya, pesawah-pesawah di sini sangat menghargai pembangunan yang dibawa kerajaan dalam kawasan mereka.

Iklan

"Namun, kami agak kecewa kerana projek yang sepatutnya memberi manfaat kepada kami sekarang membebankan pula.

"Dulu kami ingatkan pihak kontraktor hanya naik taraf sistem sawah di sini, tapi rupanya sistem ini diubah sehingga ada parit buang yang dikambus yang akhirnya menjejaskan tanaman kami," katanya ketika ditemui di Kampung Matang Kerengga di sini.

Iklan
Azmi menunjukkan sawah padinya yang pernah tenggelam sehingga mengakibatkan benih padinya mati.

Menurut Azmi Baharom, 54, dia pernah mengalami kerugian kira-kira RM28,000 bagi empat hektar tanamannya ketika tahun pertama projek berkenaan dilaksanakan.

"Puncanya sebab air tak dapat keluar dari sawah. Bila benih padi terendam terlalu lama dalam air, ia akan mati, jadi saya terpaksa tabur benih dua kali pada musim berkenaan," katanya.

Tambahnya, ada juga sesetengah kawasan yang pembetung U dibina lebih rendah dari sawah sehingga menyukarkan air masuk ke dalam sawah untuk mengairi tanaman.

"Lazimnya pembetung ni dibina lebih tinggi, jadi sekarang ni kami kena guna pam pula untuk sedut air masuk ke bendang," katanya.

Bagi Jamaliah Mohd Shakri, 47, projek berkenaan menyebabkan jalan tar di kampung mereka sepanjang enam kilometer itu turut rosak dan berlubang.

"Ini sebab lori tanah dan simen keluar masuk gunakan jalan ini, kalau hujan lagi teruk.

"Keadaan ini menyukarkan aktiviti harian penduduk yang hari-hari guna jalan ini untuk hantar anak ke sekolah dan sebagainya.

Pesawah menunjukkan jalan utama kampung mereka yang rosak teruk akibat projek berkenaan.

"Sekarang ni pula musim perayaan, segan juga dengan orang luar yang kena lalu jalan macam ni nak datang rumah kita," katanya.

Jamaliah yang juga seorang pesawah sangat berharap rintihan mereka ini mendapat perhatian daripada pihak kontrakor dan juga Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

"Kami bersedia untuk berbincang dengan pihak kontraktor dan berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin memandangkan kerja-kerja sawah bagi musim ini telah pun berjalan," katanya.